Pep Guardiola melahirkan kebimbangan mengenai jadual sibuk Manchester City kerana pendahulu Liga Perdana Inggeris itu turut mencabar Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Piala EFL.

Kejayaan meraih empat trofi menjadi kemungkinan buat City musim ini, dengan skuad Guardiola mendahului 13 mata dalam Liga Perdana -- kelebihan yang boleh mencecah 16 mata selepas kunjungan mereka ke Crystal Palace malam ini.

City juga berada dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara, separuh akhir Piala EFL dan pusingan ketiga Piala FA.

Bagaimanapun, Guardiola bimbang mengenai cabaran City dalam saingan empat gelaran berbeza itu.

"Saya bimbang mengenainya," kata Guardiola. "Empat pertandingan, saya tidak tahu adakah kami boleh melakukannya.

"Jadual -- anda perlu berhati-hati. Saya khuatir kami tidak boleh bermain setiap tiga hari.

"Kami tidak boleh menurunkan Kevin De Bruyne setiap tiga hari (untuk) 80 minit, 80 minit. Dia perlukan rehat untuk membantu kami pada bahagian akhir musim ini.

"Saya belum pernah berada dalam situasi ini. Saya banyak kali kendalikan tiga pertandingan tetapi empat tidak pernah.

"Dan yang keempat adalah perlawanan dua kali (timbal balik), dan masa tambahan. Kami akan lihat bagaimana kami mengendalikan situasi itu."

City -- yang belum ditewaskan dalam liga utama England musim ini -- sudah melakar kemenangan 18 berturut-turut dalam Liga Perdana.