Pep Guardiola akan menikmati suasana istimewa apabila Manchester City berdepan Barcelona awal pagi esok di gelanggang di mana dia hadir sebagai peminat cilik sebelum muncul sebagai pemain utama dan ketua jurulatih.

City, yang ketinggalan dua mata di belakang Barcelona dalam saingan Kumpulan C Liga Juara-Juara, menyasarkan untuk memadamkan rekod kekalahan empat kali berturut-turut dalam pertandingan itu ketika menentang gergasi La Liga berkenaan.

Guardiola dikecewakan dalam kunjungan Bayern Munich ke Nou Camp pada 2015, yang menyaksikan Lione Messi mencetuskan inspirasi dalam kemenangan 3-0 dalam perlawanan separuh akhir itu sebelum bergelar juara.

Begitupun, pengurus berusia 45 tahun itu mengakui pertemuan ini adalah rutin buatnya sebagai jurulatih pelawat.

"Baru setahun setengah berlalu ketika kali terakhir saya di sini bersama Bayern Munich. Ia sentiasa merupakan detik istimewa untuk saya duduk di sini. Stadium ini adalah sebahagian daripada kehidupan saya," ujar Guardiola menjelang pertemuan itu.

"Saya membesar di sini sebagai kanak-kanak, (membina) karier sebagai pemain dan jurulatih.

"Apabila berkunjung di sini, anda pasti akan teringat tempat dan orang yang pernah anda jumpa. Keluarga saya ada di sini, sebab itulah saya sentiasa gembira.

"Sudah tentu ia ujian baik untuk kami berdepan sebuah pasukan terbaik."

Bercakap mengenai trofi yang pernah dimenanginya sebagai bos Barcelona di antara tahun 2008 sehingga 2012, Guardiola berkata, "Saya tidak merinduinya. Saya sangat gembira di sini dan merindui orang-orang di sini.

"Saya gembira bekerja dengan mereka tapi mereka telah menukar pekerja, kebanyakannya saya tidak kenal. Kelab ini masih kekal sama dengan sejarah di sebaliknya dan masa depan gemilang menanti mereka -- peminat kelab itu cukup bersemangat.

"Ia sebahagian daripada kehidupan saya, saya sudah menutup bab itu, saya buka yang baru di Munich. Dan sekarang saya mempunyai bab yang baru."

Guardiola mahu kelab itu meletakkan sasaran jangka panjang untuk menjadi pencabar utama pentas Eropah.

"Musim lalu, kami layak ke separuh akhir dan pujian harus diberikan kepada bekas pengurus, Manuel Pellegrini, di atas apa yang telah dilakukannya untuk membantu pengurus seterusnya,' katanya.

"Jangan lupa, Manchester City sudah 35 tahun tidak bersaing di Eropah (termasuk memenangi gelaran utama sehingga Piala FA pada 2011) -- 35 tahun adalah waktu yang sangat panjang.

"Anda akan menjadi pencabar di Eropah apabila anda bermain lebih kerap di pentas itu dan itulah matlamat bagi kami di sini ketika ini -- dalam tempoh lima, enam atau tujuh tahun, kami akan kerap berdepan kelab besar dengan aksi terbaik. Itulah sasaran kami."