QARABAG 0 ATLETICO MADRID 0

Antoine Griezmann berkata apa yang dihajati Atletico Madrid di Qarabag tidak menjadi kenyataan selepas mereka terpaksa berpuas hati seri tanpa jaringan, satu keputusan yang mampu menggugat mereka dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).


Selepas aksi di Azerbaijan awal pagi tadi, Atleti hanya mampu mengumpul dua mata dalam tiga perlawanan Kumpulan C susulan keputusan seri dengan AS Roma dan kekalahan kepada Chelsea.

Tuan rumah yang beraksi dengan semangat tinggi memiliki peluang untuk mengutip tiga mata, namun Griezmann menegaskan dia serta rakan sepasukan sama sekali tidak memandang rendah Qarabag sambil berazam untuk mara.

"Kami tidak berpeluang untuk menang di sini," katanya. "Qarabag cukup ampuh dan kami perlu berusaha untuk menyumbat lebih banyak gol.

"Kami mempunyai peluang tetapi ia cukup sukar, mereka berkubu di tempat sendiri dan kami perlu lebih efisien kerana kami memiliki peluang dan perlu mengambil kesempatan itu.

"Kami masih mempunyai tiga lagi perlawanan untuk layak dan akan berjuang habis-habisan," katanya.

Begitupun, pemain tengah, Gabi, mengakui Atleti berdepan tugas getir untuk mara kerana hampir pasti memerlukan tiga kemenangan.

"Dalam separuh masa pertama, kami ada peluang sementara pada babak kedua, kami berusaha tetapi tidak dapat menembusi mereka," katanya.

"Ia gelanggang yang sukar dan kami tidak dapat mencapai kemenangan.

"Kami berdepan masalah di barisan hadapan. Kami memiliki peluang, namun pihak lawan mendapat satu gol. Kami perlu menang dalam baki tiga perlawanan," katanya lagi.