REAL VALLADOLID 2 ATLETICO MADRID 3

Antoine Griezmann berasakan kesibukannya sepanjang tahun ini menghalang dirinya untuk memberikan prestasi sebenar walaupun menjaringkan dua gol ketika membantu kemenangan 3-2 Atletico Madrid ke atas Real Valladolid dalam saingan LaLiga, malam tadi.


Griezmann menbantu jaringan pembukaan Nikola Kalinic dalam babak pertama.

Dia kemudian meraikan penampilannya yang ke-300 dalam saingan LaLiga menerusi gol sepakan penalti selepas Kiko Olivas menampan bola menggunakan tangan.

Kealpaan pertahanan Atletico dalam babak kedua mengundang padah sebaik Fernando Calero menanduk masuk bola sepakan sudut Michel pada minit ke-57 dan Saul Niguez pula terjaring ke gawang sendiri pada minit ke-63.

Griezmann menjaringkan gol kemenangan Atletico selepas memanfaatkan kesilapan Oscar Plano ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Namun, bintang juara dunia, Perancis, itu tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkannya.

"Saya gembira dengan kemenangan itu walaupun saya tidak berada dalam prestasi terbaik.

"Ia tahun yang sibuk buat saya bersama kelab dan pasukan kebangsaan.

"Saya mungkin kekurangan kelajuan, namun saya sudah mencuba apa yang terdaya," katanya.

Griezmann turut mendedahkan pasukannya gagal mematuhi amaran yang diberikan pengendali pasukan, Diego Simeone, yang mahukan barisan pemainnya berhati-hati dengan ancaman bola tinggi yang akan digunakan pihak lawan.

"Ia sesuatu yang benar-benar menguji kami untuk menghalang mereka daripada menjaringkan gol.

"Jurulatih mengingatkan kami di dalam bilik persalinan, kami perlu menyekat hantaran lintang mereka.

"Mujur kami berjaya menjaringkan gol kemenangan, namun hantaran lintang mereka masih menghantui kami selepas itu," tambahnya.