ATLETICO MADRID 2 MONACO 0

Antoine Griezmann berasakan Atletico Madrid telah mengubah pendekatan mereka berikutan kempen Liga Juara-Juara (UCL) yang mengecewakan musim lalu selepas mencapai pusingan 16 susulan kemenangan ke atas Monaco, awal pagi tadi.


Pasukan bimbingan Diego Simeone itu menduduki tangga ketiga kumpulan di belakang AS Roma dan Chelsea setelah hanya menang sekali dalam enam perlawanan.

Biarpun memenangi Liga Europa, Griezmann mengakui Atleti terpaksa memenuhi syarat untuk mara ke pusingan kalah mati pertandingan utama Eropah musim ini dan mereka melaksanakannya pada awal pagi tadi hasil kejayaan 2-0 di Wanda Metropolitano.

"Itulah perkara yang paling penting: mara ke pusingan 16. Selepas kejadian tahun lalu, itulah yang kami lakukan," kata Griezmann, yang menjaringkan gol kedua pasukannya, memberitahu Movistar.

"Kami masih mempunyai baki perlawanan untuk mengetahui sama ada kami akan mengungguli kumpulan ini. Secara peribadi, saya gembira dan menikmati permainan saya."

Atleti kelihatan mengendurkan asakan dalam babak kedua ketika menentang skuad muda kendalian Thierry Henry itu dan wakil LaLiga berkenaan bernasib baik dapat melepaskan diri selepas Stefan Savic dibuang padang susulan kad kuning kedua manakala Radamel Falcao pula gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan bekas kelabnya.

"Memang benar kami agak santai dan apabila itu berlaku, sesiapapun boleh melukai anda," kata Griezmann.

"Namun, kami perlu memberi tumpuan kepada permainan yang hebat, itulah yang kami lakukan."

Savic mula menjadi perhatian selepas menyiku Andrea Raggi, dengan tindakan itu sepatutnya menyebabkan dia terus menerima kad merah.

Bagaimanapun, dia hanya diarahkan meninggalkan padang selepas menyekat percubaan Youri Tielemans dengan tangannya.

Griezmann tidak jelas dengan situasi tersebut dan sama ada keputusan itu betul sambil menganggap Video Bantuan Pengadil (VAR) boleh menjernihkan keadaan itu.

"Saya tidak nampak dengan jelas, sebab itulah kami tidak memprotes," katanya. "VAR dalam UCL akan menamatkan perkara ini."