Pemain sayap Bayern Munich, Frank Ribery, berasakan Antoine Griezmann perlu beraksi di peringkat lebih tinggi dengan lebih lama sebelum dia boleh dianggap selaku pemain berkelas dunia.

Griezmann muncul pemain berbakat besar sejak menyertai Atletico Madrid pada 2014 dan merupakan salah seorang pemain pilihan untuk memenangi Ballon d'Or berikutan persembahan cemerlang dalam kempen Euro 2016 bersama Perancis.

Begitupun, Ribery berpendapat rakan senegaranya itu masih perlu bekerja keras untuk berada sebaris dengan pemain terbaik.

"Griezmann melakukan tugas hebat musim lalu," kata Ribery kepada Sport Bild.

"Tapi anda harus konsisten menampilkan aksi sebegitu jika anda mahu menjadi pemain berkelas dunia.

"Orang ramai terlalu cepat untuk mengatakan seseorang itu pemain hebat dan berhak memenangi Ballon d'Or hanya kerana pencapaian semusim. Saya tidak bersetuju mengenainya.

"Bagi saya, anda perlu membuktikannya dalam tempoh lebih 10, 12 atau 15 tahun jika anda mahu berada antara yang terbaik. Lakukannya dan kemudian saya akan mengucapkan tahniah kepada anda.

"Saya mungkin terpinggir selama sembilan bulan akibat kecederaan, namun saya telah bermain di peringkat tertinggi dalam tempoh 10 tahun atau lebih."