Pierre-Emerick Aubameyang bergelut dengan tekanan mental susulan kerap dikaitkan dengan kelab besar, kata Presiden Borussia Dortmund, Reinhard Rauball.

Penyerang Gabon itu disebut-sebut akan angkat kaki dari Signal Iduna Park untuk ke Real Madrid -- bukan sekali spekulasi mengaitkannya akan ke sana -- sementara penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu itu turut dilaporkan akan ke AC Milan selain minat daripada Liga Super China, musim panas lalu.

Di sebalik prestasi tidak menentu Dortmund musim ini sehingga membawa kepada pemecatan ketua jurulatih, Peter Bosz, pemain berusia 28 tahun itu telah meledak 21 gol dalam 23 perlawanan musim ini.

"Dia telah melakukannya dengan baik sejak bertahun-tahun lalu dan juga penjaring terbanyak Bundesliga," kata Rauball kepada Kicker.

"Auba seorang yang mudah, lucu dan sering ketawa. Ada masanya dia terkesan secara mental oleh beberapa tawaran -- anda perlu faham apabila ia membabitkan angka-angka seperti itu," ujarnya.

Dalam masa sama, Rauball kurang senang terhadap kelakuan Ousmane Dembele sebelum pemain sayap Perancis itu berpindah ke Barcelona dengan tawaran €105 juta (RM509.4j), Ogos lalu.

"Saya sukakan Dembele dan saya sangat kesal kerana dia tidak berada di kelab ini lagi," katanya terhadap pemain itu yang menghilangkan diri daripada sesi latihan Dortmund untuk mendesak perpindahannya ke Barcelona.

"Dembele mempunyai gerakan yang licik. Dia mempunyai mentaliti lain yang kami tidak biasa miliki," tambahnya.