Gol luar biasa Giroud menang Anugerah Puskas FIFA

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 6024
Gol luar biasa Giroud menang Anugerah Puskas FIFA
Penyerang Arsenal, Olivier Giroud, memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2017 untuk jaringan voli luar biasa yang menggunakan sungkitan tumit ketika menentang Crystal Palace.

Pemain antarabangsa Perancis itu mengetepikan pemain antarabangsa wanita Venezuela, Deyna Castellanos, dan penjaga gol Baroka, Oscarine Masuluke, dengan jaringannya di Stadium Emirates pada 1 Januari lalu.

Gol luar biasa Giroud itu diterjemahkan hasil hantaran menarik daripada Alexis Sanchez untuk menewaskan penjaga gawang, Wayne Hennessey.

Bercakap dalam majlis Anugerah FIFA di London Palladium, pemain berusia 31 tahun mendedikasikan hadiah itu kepada bapanya.

"Ini satu penghormatan buat saya dan saya gembira menerima trofi ini hari ini," katanya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada tiga (finalis), yang juga menjaringkan gol menakjubkan.

"Sudah tentu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya -- tanpa mereka, saya tidak akan dapat menjaringkan gol ini -- dan keluarga saya.

"Saya juga ingin mendedikasikan trofi ini kepada ayah saya," katanya.

Daripada 10 pencalonan untuk anugerah itu, FIFA mengiktiraf gol "paling menarik" di seluruh dunia pada setiap tahun, Giroud menyertai senarai tiga terakhir, termasuk Castellanos dan Masuluke.

Castellanos, yang juga salah seorang daripada tiga pemain disenarai pendek untuk Pemain Wanita Terbaik FIFA, mengejutkan Cameroon dengan sepakan menakjubkan untuk meraih kemenangan 2-1 pada masa tambahan dalam Piala Dunia Wanita FIFA U-17. Dia menjaringkan gol dari tengah padang sebaik wisel dibunyikan.

Masuluke juga membuat drama lewat dengan melakukan sepakan gunting daripada sepakan penjuru ketika menentang Orlando Pirates.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen