“Gol Faiz Subri memang istimewa,” itu reaksi pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, melihat kepada kejayaan anak jati Kulim, Kedah itu yang tersenarai dalam 10 gol terbaik dunia untuk meletakkan dirinya sebaris dengan jaguh dunia seperti Lionel Messi dan Neymar.

Walaupun ini hanya pencapaian individu, Faiz sudah pun mengharumkan nama negara apabila berjaya meletakkan namanya dalam senarai penjaring 10 gol tercantik dunia bagi musim 2016 bagi Anugerah Puskas.

Ada juga yang bersikap skeptikal dengan menganggap Faiz hanya bernasib baik, namun hakikatnya dia boleh berbangga dengan pencapaiannya itu.

Tegas Hasnizam, pencapaian kali pertama melibatkan pemain negara ini mampu menjadi pendorong buat pemain lain mengulangi serta menjadikannya sebagai penanda aras untuk terus cemerlang.

"Jaringan itu perlu diiktiraf kerana dengan kualiti dan teknik sepakannya, walaupun ada yang menyatakan ia jaringan nasib semata-mata, tetapi itu merupakan salah satu gol tercantik yang dilakukan oleh Faiz.

"Walaupun bersaing bersama pemain-pemain ternama, ia merupakan satu pencapaian terbaik bagi individu sebagai pemain bola sepak," katanya.

Bagi pencinta bola sepak tanahair, kejayaan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia begitu membanggakan, malah mereka yakin Faiz mampu untuk mengatasi calon-calon lain.

"Pencapaian tersebut sebaris dengan pemain terbaik dunia dari Brazil, Argentina dan lain-lain.

"Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai pemain yang diletakkan dalam senarai tersebut, jadi saya berharap rakyat Malaysia akan terus mengundi untuk meletakkan Faiz dalam senarai tiga terbaik atau mungkin memenangi anugerah tersebut," jelas seorang peminat bola sepak negara.