Gol Depay buat Scotland gigit jari

Oleh Penulis Jemputan 10 November 2017 3907
Gol Depay buat Scotland gigit jari
SCOTLAND 0 BELANDA 1

Jaringan pemain sayap Olympique Lyon, Memphis Depay, membolehkan Belanda meraih kemenangan 1-0 ke atas Scotland dalam aksi persahabatan di Stadium Pittodrie, Aberdeen, awal pagi tadi.


Scotland yang kini dikendalikan sementara oleh Malky Mackay susulan pemecatan Gordon Strachan akibat gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, menampilkan lapan muka baru dalam senarai pemainnya.

Bagaimanapun, aksi Depay lebih mencuri tumpuan apabila mengucar-kacirkan benteng lawan sejak awal permainan.

Dia melepasi tiga pertahanan sebelum meledakkan rembatan leret yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol Scotland, Craig Gordon, pada minit ke-35.

Selang seminit, giliran Kieran Tierney menguji kekebalan Jasper Cillessen di gawang pelawat menerusi sepakan kencang.

Usaha Depay berhasil dua minit kemudian apabila serangan balas skuad bimbingan Dick Advocaat itu membolehkan  Quincy Promes membuka ruang buat Depay untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Belanda bakal menghadapi satu lagi aksi persahabatan apabila turun menentang Romania pada Rabu ini dalam perlawanan yang bakal menyaksikan kelibat terakhir Advocaat sebagai pengurus skuad Oranje sebelum menamatkan kontrak.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen