Gerrard gembira jika dapat beraksi di bawah Klopp

Oleh Staff Writer 15 Oktober 2019 2919
Gerrard gembira jika dapat beraksi di bawah Klopp
Steven Gerrard mengakui gembira jika dia meraih peluang untuk bermain di bawah bimbingan Jurgen Klopp di Liverpool.

Ikon The Reds itu menjaringkan 186 gol dalam 710 penampilan buat kelab yang diwakili sejak kecil itu sebelum berhijrah ke LA Galaxy pada Julai 2015.

Klopp menggantikan Brendan Rodgers pada Oktober tahun yang sama dan Gerrard -- yang kini mengendalikan kelab Liga Perdana Scotland, Rangers -- mengakui memikirkan apa yang berlaku jika dia kekal lebih lama di Anfield dan bekerja di bawah kendalian jurulatih dari Jerman itu.

"Saya sering berfikir walaupun telah lama meninggalkan pasukan," katanya.

"Adakah saya patut kekal di Liverpool? Adakah saya patut menandatangani lanjutan kontrak?

"Mungkin saya berpeluang untuk menikmati tempoh di bawah bimbingan Klopp dan beraksi dalam satu pasukan.

"Perkara ini sering terlintas dalam fikiran saya tetapi saya sudah buat keputusan. Saya berbangga dengan karier yang saya lalui di Liverpool. Saya sangat bangga dengan pencapaian saya ketika ini, sampai ke bidang pengurusan.

"Saya mahu memberi fokus sepenuhnya dan cuba belajar untuk berkembang sebelum melihat hala tuju seterusnya.

"Namun, sudah tentu kadangkala anda terfikir. Bayangkan jika saya kekal di Liverpool lebih lama, mungkin saya akan menemui Klopp dan beraksi 10 atau 15 minit dari bangku simpanan.

"Tentunya ia terlintas dalam fikiran saya. Saya akan sukakannya."

Liverpool mengharungi permulaan cemerlang musim ini, memiliki kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris mengatasi Manchester City selepas memenangi kesemua lapan perlawanan sambil Rangers yang dibimbing Gerrard itu kini menduduki tangga teratas Liga Perdana Scotland.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen