OLYMPIQUE LYONNAIS 2 HOFFENHEIM 2

Ketua jurulatih Olympique Lyonnais (Lyon), Bruno Genesio, mengkritik keputusan salah yang dipilih pemainnya selepas Hoffenheim bangkit mengikat kedudukan 2-2 pada minit-minit terakhir aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Genesio itu mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama menerusi jaringan Nabil Fekir dan Tanguy NDombele, namun Andrej Kramaric dan Pavel Kaderabek kembali mengikat kedudukan dalam separuh masa kedua walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain selepas Kasim Adams dibuang padang.

Keputusan seri itu menyaksikan persaingan dalam Kumpulan F kekal terbuka dengan Lyon kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Manchester City, manakala Hoffenheim terus mengejar dengan kekurangan tiga mata di belakang Lyon dengan berbaki dua perlawanan.

Genesio meluahkan kekecewaan selepas pasukannya itu terlepas peluang memperoleh kemenangan yang mungkin hanya memerlukan satu mata untuk mereka layak ke pusingan seterusnya andai keputusan sebaliknya berlaku.

"Kami sepatutnya menjaringkan gol ketiga.

"Saya amat marah kerana kami terlepas dua mata berharga.

"Kami melakukan banyak keputusan yang salah. Pemain-pemain perlu lebih kejam.

"Kami panik tanpa sebarang sebab," katanya.

Rakan sejawatan Genesio di Hoffenheim, Julian Nagelsmann, memuji penjaga gawangnya, Oliver Baumann, yang muncul penyelamat pasukan ketika Lyon cuba menambah kelebihan mereka.

"Kami bermain baik dalam 20 minit pertama, namun kami terlalu selesa selepas itu.

"Kami terlepas peluang dengan mudah.

"Apa yang penting adalah kami terus memberikan tekanan selepas hilang penguasaan. Itu yang menyukarkan Lyon.

"Keadaan amat sukar dengan kekurangan seorang pemain, namun Baumann beraksi dengan baik dan pihak lawan tidak dapat melakukan penyudah.

"Kami bernasib baik, namun ia ada kalanya seperti itu," katanya.