INTER MILAN 1 AC MILAN 0

Ketua jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, tidak menyalahkan penjaga golnya, Gianluigi Donnarumma, di sebalik kekalahan 0-1 kepada jiran setempat, Inter Milan, dalam pertemuan Serie A, awal pagi tadi.


Pertembungan Milan itu menyaksikan penjaga gol berkenaan tersalah agakan dalam menangkap bola hantaran lintang Matias Vencino yang kemudian disudahkan Mauro Icardi pada minit ke-92.

Jaringan itu menyaksikan kapten Inter tersebut menjaringkan lima gol dalam empat pertemuan terakhir menentang AC Milan, termasuk jaringan hatrik musim lalu.

Bagaimanapun, Gattuso enggan melemparkan sebarang kritikan terhadap Donnarumma.

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa," kata Gattuso kepada Sky Sport Italia.

"Ia kesilapan bagi keseluruhan pertahanan.

"Ignazio Abate turun terlalu awal untuk menghalang hantaran itu, Mateo Musacchio juga gagal membaca hantaran tersebut.

"Hari ini kami tewas sebagai satu pasukan, bukan disebabkan Donnarumma.

"Kami tewas kerana kami tidak bermain dengan cara yang betul.

"Kami terganggu dan kami terlepas jaringan yang sia-sia," katanya.

Rekod lapan kemenangan Milan musnah dalam perlawanan itu. Mereka juga meneruskan penantian dalam menamatkan perlawanan tanpa sebarang bolos.

Gattuso sedar pergelutan yang dialami Rossoneri dengan mereka cuba mengekang asakan serangan yang dilakukan Inter.

"Inter sememangnya lebih layak menang, namun keputusan akan lebih positif buat kami andai perlawanan tamat tanpa sebarang jaringan.

"Kami bermain dengan corak fizikal yang kami tidak gemar, namun kami melakukannya dengan baik.

"Kami sepatutnya menghasilkan hantaran-hantaran yang lebih baik sewaktu serangan balas.

"Sejak awal musim, pasukan kami tidak dapat bertahan sehingga minit ke-90 tetapi kali ini kami bertahan dengan sangat baik.

"Apa yang saya sesalkan adalah kami melakukan banyak serangan balas pada 15 minit terakhir perlawanan, namun kami gagal memanfaatkannya.

"Secara keseluruhan saya harus katakan Inter pasukan yang lebih baik daripada kami," tambahnya lagi.