Penyerang yang kononnya menjadi sasaran Inter, Edin Dzeko dan Romelu Lukaku, akan membentuk gandingan berbisa, kata legenda Nerazzurri, Christian Vieri.

Inter dilaporkan berminat untuk menandatangani kedua-dua penggempur berkenaan di bawah pengurus baru, Antonio Conte, untuk mengukuhkan skuad yang menjamin kedudukan keempat Serie A itu dengan jurang tipis.

Dzeko dikatakan hampir memuktamadkan perpindahan daripada Roma sementara nasib tidak menentu Lukaku di Manchester United bakal berakhir sebaik kedua-dua kelab mencapai persetujuan.

Pada usia 33 tahun dan kontraknya tinggal hanya setahun lagi , yuran perpindahan Dzeko mungkin rendah dan bekas bintang Itali itu ingin melihat tonggak Bosnia-Herzegovina berkenaan di San Siro.

"Dia penyerang paling lengkap di Itali," kata Vieri kepada Gazzetta dello Sport.

"Secara fizikal dia sangat tegap, mempunyai teknik, tandukan dan rembatan yang baik dengan kedua-dua belah kakinya.

"Dia menjaringkan gol dan membantu rakan sepasukannya. Gandingannya dan Lukaku, Inter pasti akan berbisa."

Seteru setempat, AC Milan, pula mempunyai pilihan tersendiri di jentera serangan.

Marco Giampaolo dilaporkan akan dilantik selaku pengurus dan salah satu tugas pertamanya adalah menyelesaikan masa depan Gonzalo Higuain, yang kontrak pinjamannya di Chelsea akan berakhir setelah mengharungi separuh musim yang kabur di sana.

Vieri yang sempat melebarkan kariernya di Rossoneri menasihati kelab tersebut agar tidak melepaskan penyerang berpengalaman itu biarpun Krzysztof Piatek mula mengukuhkan posisinya sebagai pilihan utama.

"Tiada keraguan lagi, dia sering menjaringkan gol," kata Vieri mengenai Higuain.

"Dia tidak gembira di Milan atas banyak faktor dan tidak mungkin dapat menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris dan Chelsea dalam masa beberapa bulan sahaja.

"Sekiranya saya seorang pengarah sukan, saya akan tetap mempertaruhkan Higuain."