ITALI 0 SWEDEN 0
(Sweden layak dengan agregat 1-0)

Gianluigi Buffon cuba menahan sebak sejurus mengesahkan persaraannya daripada pentas antarabangsa berikutan kegagalan Itali layak ke pusingan akhir Piala Dunia Russia 2018.


Skuad Azzuri terlepas tempat dalam Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 selepas sekadar seri tanpa jaringan di San Siro dalam aksi play-off awal pagi tadi untuk mengesahkan kemenangan 1-0 Sweden secara agregat.

Susulan daripada kempen kelayakan yang mengecewakan itu, Gian Piero Ventura hampir pasti dipecat sebagai jurulatih kebangsaan, namun ucapan selamat tinggal daripada pemain veteran yang sudah mewakili Itali itu sebanyak 175 kali itu lebih perit untuk ditelan penyokong Itali.

Legenda Juventus itu menegaskan dia tidak bersedih untuk menamatkan karier antarabangsanya selepas menjulang trofi Piala Dunia pada 2006 berbanding keputusan yang memberi kesan kepada bola sepak Itali.

"Ia mengecewakan," kata Buffon kepada Rai Sport.

"Bukan saya tetapi bola sepak Itali kerana kami gagal mencapai sesuatu yang penting buat negara. Itulah yang saya kesalkan dan bukannya disebabkan menamatkan karier saya. Ini kerana masa berlalu dan langkah ini adalah wajar.

"Adalah detik memalukan dalam penampilan terakhir saya juga seiring dengan kegagalan layak ke Piala Dunia.

"Namun, bola sepak Itali mempunyai masa depan kerana kami mempunyai maruah, kemampuan, kegigihan dan selepas kekecewaan besar ini, kami akan sentiasa dapat mencari jalan penyelesaian.

"Saya akan meninggalkan pasukan Itali dan biarlah ia (rekod itu) menjelaskannya sendiri," tambahnya.

Sekalipun mengharungi kempen mengaibkan, Buffon enggan meletakkan kesalahan ke atas Ventura.

"Dalam bola sepak, anda memenanginya secara sepasukan, begitu juga dengan kekalahan apabila anda saling meraih pujian dan dan menanggung kekalahan," kata penjaga gol berusia 39 tahun itu lagi.

"Jurulatih merupakan sebahagian daripada pasukan."

Jakob Johansson menjadi wira Sweden selepas meledak gol tunggal dalam pertemuan pertama, namun terpaksa diusung keluar ekoran kecederaan kaki ketika melakukan pendaratan pada pertengahan babak pertama.

Ventura dikritik hebat kerana keengganannya menurunkan pemain Napoli yang sedang berada dalam prestasi terbaik, Lorenzo Insigne, dan Itali yang melancarkan asakan sejak wisel pertama, terus buntu untuk menembusi benteng Sweden sambil digagalkan kegugupan mereka dalam situasi getir.