Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mahu pemain bersikap profesional dengan memberi keutamaan kepada persiapan menjelang Piala Suzuki AFF dan selesaikan urusan perpindahan ke pasukan baharu dalam Liga Malaysia sebelum berangkat ke Yangon, Myanmar.

Ketika ini, beberapa nama dikaitkan bakal berhijrah pasukan dalam saingan Liga Malaysia, antaranya membabitkan Norshahrul Idlan Talaha, Safawi Rasid dan Rizal Ghazali.

Situasi itu bukan sesuatu yang baik kepada pasukan kebangsaan ketika sepak mula Piala AFF akan bermula dua minggu sahaja lagi.

Justeru, Kim Swee mahu pemain segera menyelesaikan urusan mereka kerana mahu mereka memberi komitmen 100 peratus sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya percaya mereka semua bersikap profesional dan tahu mana yang perlu didahulukan.

"Pada saya, mereka perlu memberikan keutamaan kepada persiapan skuad negara terlebih dahulu dan memikirkan tentang perkara lain selepas Piala AFF berakhir," jelasnya.

Sementara itu, Kim Swee tidak berasakan Vietnam dan Myanmar memiliki kelebihan ekoran melakukan persiapan yang lebih lama berbanding pasukan negara.

Ini berikutan liga kebangsaan Myanmar telah menamatkan kempen pada Ogos lalu sementara Vietnam pada September.

"Setiap pasukan yang bersiap sedia lebih awal memiliki kelebihan. Meskipun kita lewat menghabiskan liga tetapi senario ini memastikan pemain berada dalam tahap kecergasan yang baik.

"Perkara ini akan membantu skuad negara dan terpulang kepada saya dalam membahagikan corak latihan bagi memastikan mereka kekal dalam tahap kecergasaan paling tinggi," tambahnya.