Flick puji jurulatih Hoffenheim selepas Bayern tewas besar

Oleh Muzaffar Musa 28 September 2020 2413
Flick puji jurulatih Hoffenheim selepas Bayern tewas besar
Ketua jurulatih Bayern Muncih, Hansi Flick, memuji rakan sejawatannya di Hoffenheim, Sebastian Hoeness, yang menjadi dalang dalam memastikan juara Bundesliga itu tewas buat kali pertama sejak Disember tahun lalu.

Skuad kendalian Flick itu turun beraksi di Sinsheim awal pagi tadi selepas menewaskan Sevilla 1-2 dalam masa tambahan Piala Super Eropah dan ia mungkin menjadi punca mengapa Joshua Zirkzee mengambil alih tempat Robert Lewandowski dalam kesebelasan utama.

Sekalipun penyerang kebangsaan Poland itu diturunkan, amat sukar untuk Bayern menyekat penguasaan Hoffenheim, yang banyak menguasai jentera serangan sehingga memperoleh kemenangan besar 4-1.

Hoffenheim mendahului 2-1 dalam babak pertama dengan Joshua Kimmich kembali merapatkan jurang buat Bayern selepas Ermin Bicakcic dan Munas Dabbur meletakkan pasukan tuan rumah itu selesa dengan kelebihan dua gol.

Kecemerlangan Andej Kramaric menjaringkan gol berganda pada 13 minit terakhir memastikan juara Eropah, Bayern, terpaksa menamatkan rekod 32 perlawanan tanpa tewas mereka.
 
Penyokong Bayern mungkin melihat faktor kepenatan selepas beraksi selama 120 minit dan kurang 72 jam sebelum perlawanan itu menjadi punca kekalahan berkenaan tetapi bukan buat Flick, yang kagum dengan percaturan yang dilakukan Hoeness.

"Terdapat banyak sebab di atas kekalahan ini tetapi daripada segi keinginan dan kesediaan, saya langsung tidak boleh menyalahkan pasukan ini," kata Flick kepada Sky.

"Mentaliti mereka selepas beraksi 120 minit Khamis (awal pagi Jumaat) lalu amat hebat.

"Kami memberikan pihak lawan terlalu banyak peluang dan kami tidak efektif ketika menyerang seperti kebiasaan.

"Pujian buat Hoffenheim. Pasukan itu telah mempamerkan satu persembahan yang amat mantap dan pujian juga harus diberikan buat Sebastian Hoeness -- pasukannya telah dibentuk dengan amat baik.

"Mereka menutup ruang buat kami dengan amat baik, kami tidak memperoleh banyak peluang untuk bermain menyerang seperti yang biasa kami lakukan.

"Saya tidak menyalahkan kepenatan di atas kekalahan ini.

"Kami cuma tidak dapat bermain dengan cara sebenar, dengan dinamik yang kebiasaannya kami boleh bermain seperti itu," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen