Hansi Flick tidak takut untuk mengakui potensi Bayern Munich meraih kejuaran 'treble' musim ini setelah mengesahkan gelaran juara Bundesliga awal pagi tadi.

Bayern memaparkan aksi cemerlang sejak ketibaan Flick, November lalu dengan merekodkan 26 kemenangan daripada 29 perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Dan kejayaan pertama mereka musim ini disahkan dengan berbaki dua perlawanan dalam saingan Bundesliga ketika jaringan Robert Lewandowski dalam babak pertama sudah cukup untuk mereka meraih kemenangan 1-0 di Werder Bremen.

Tetapi perjuangan Bayern masih belum berakhir dan mereka kini perlu mengalihkan perhatian bagi menghadapi Bayer Leverkusen dalam final DFB Pokal selain aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Juara Jerman itu membawa kelebihan tiga gol daripada perlawanan pertama pusingan 16 menentang Chelsea dalam liga kelab elit Eropah itu, dan persembahan mereka dalam perlawanan itu memberikan gambaran bahawa mereka mampu menyapu bersih setiap gelaran yang ditawarkan.

"Kami kini sudah mengambil langkah pertama untuk mencapai sasaran besar kami dengan menjadi juara," kata Flick kepada Sky Sport.

"Tetapi kami masih ada DFB Pokal sebagai sasaran kami yang seterusnya.

"Sudah pasti ada juga Liga Juara-Juara. Sudah jelas bahawa ia tidak dapat dirancang.

"Ia akan menjadi cukup sukar bermula dengan perlawanan menentang Chelsea terlebih dahulu.

"Kemudian, kami akan melihat apa yang berlaku.

"Ia akan menjadi sukar dan kami perlu benar-benar cergas," katanya.

Bayern beraksi di bawah tahap sebenar ketika menentang Werder tetapi masih mampu bertahan sehingga ke penamat biarpun Alphonso Davies dilayangkan kad merah pada 11 minit terakhir.

Flick menambah: "Dengan kad merah itu, Bremen menjadi sedikit berani. Kami perlu bertahan dan melakukannya dengan amat hebat. Kerana itulah tiada sebarang kritikan hari ini.

"Saya amat-amat gembira dan hanya boleh memperkatakannya berulang kali: anda tidak akan berjaya seorang diri.

"Kami hanya sebuah unit dan saya amat gembira berada di sini," katanya.