MALAYSIA 2 VIETNAM 2

Hasrat Harimau Malaya untuk membawa bekalan selesa ke tempat lawan tidak berhasil apabila diikat seri 2-2 oleh Vietnam dalam perlawanan pertama final Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Dua jaringan awal oleh Nguyen Hung Huu dan Pham Duc Huy dilihat menjanjikan kemenangan buat pelawat tetapi tandukan Shahrul Saad dan sepakan percuma Safawi Rasid memberikan sedikit harapan untuk bangkit dalam pertemuan kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

Berbeza dengan aksi separuh akhir kedua di Bangkok minggu lalu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama apabila membawa masuk Amirul Azhan Azman dan Irfan Zakaria susulan penggantungan Syahmi Safari serta kecederaan pertahanan senior, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya meraih dua kemenangan dalam lapan pertemuan terakhir dengan pasukan bimbingan Park Hang-Seo itu sambil meraih lima kekalahan, termasuk keputusan 0-2 ketika aksi peringkat kumpulan, 16 November lalu.

Di depan hampir 90,000 penyokong di Bukit Jalil, anak-anak buah Cheng Hoe dilihat gugup memulakan permainan tetapi terlebih dahulu menguji kubu lawan menerusi tandukan kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang menerima hantaran lintang Syamer Kutty Abba, namun tersasar ke tepi gawang.

Sebaliknya, kealpaan Malaysia memberikan lawan banyak ruang untuk pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-22.

Kesilapan Safawi yang lambat melakukan hantaran di tengah padang membolehkan Vietnam mencipta serangan balas dan walaupun penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias, berjaya menampan bola percubaan Hung Huu tetapi ia tidak mampu mengelak pintu golnya daripada dibolosi.

Belum sempat Harimau Malaya bangkit daripada lena dalam usaha mencari gol penyamaan, Vietnam yang menerima sentuhan pengendali dari Korea Selatan itu sekali lagi menghukum kealpaan benteng negara, kali ini menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti oleh pemain sayap, Duc Huy, tiga minit kemudian.

Sedar akan harapan tinggi yang dibawa oleh puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional, skuad negara mula mengatur gerakan dan melakukan asakan bertali-arus.

Malaysia merapatkan jurang menerusi tandukan bek tengah, Shahrul Saad, yang menyambut sepakan percuma Syamer pada minit ke-36 sebelum bola tendangan kaki kanan Zaquan ketika permainan memasuki waktu kecederaan babak pertama tepat ke dakapan Dang Van Lam.

Pelawat jelas belum puas dengan dua jaringan yang diraih apabila hampir melebarkan kedudukan 11 minit selepas babak kedua bersambung, namun Farizal lebih bersedia untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan situasi sebaliknya berlaku apabila Malaysia menjaringkan gol penyamaan yang ditunggu-tunggu.

Sepakan percuma di depan kotak penalti pada minit ke-60 digunakan sebaik-baiknya oleh bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi, apabila melepaskan ledakan kaki kiri yang melencong menewaskan Van Lam, sekali gus mengutip jaringan sulung dalam kejohanan dan menjadikan kedudukan 2-2 tatkala dua percubaan lawan hampir menghukum kealpaan tuan rumah, lima minit kemudian.

Kemasukan Akhyar Rashid ternyata tidak mampu untuk merobek gawang lawan walaupun sepakan percuma dalam waktu kecederaan oleh seorang lagi pemain gantian, Syafiq Ahmad, dinafikan oleh Van Lam.

Kedudukan kekal 2-2 sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Christopher Beath, sekali gus menjanjikan cabaran getir buat Harimau Malaya di Vietnam dalam aksi kedua, Sabtu ini.

Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial