Pengendali negara, Tan Cheng Hoe, mengharapkan skuad kendaliannya mampu melakukan keajaiban untuk menewaskan Vietnam dalam perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini, sekali gus mengakhiri penantian lapan tahun kejuaraan.

Skuad negara berdepan situasi mirip edisi 2014 apabila gagal meraih bekalan selesa untuk aksi timbal balik bertemu Vietnam.

Ia susulan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Dalam aksi separuh akhir empat tahun lalu, skuad negara tewas 1-2 dalam pertemuan pertama di laman sendiri.

Namun, skuad negara yang dibimbing Dollah Salleh ketika itu melakar keajaiban dalam pertemuan kedua di Hanoi selepas meraih kemenangan 4-2 untuk ke pentas akhir dengan agregat 5-3.

Cheng Hoe mengharapkan keajaiban itu berulang dalam kempen kali ini bagi memastikan kejuaraan milik skuad Harimau Malaya.

"Misi kami adalah untuk memperoleh jaringan awal dan bertahan dengan baik.

"Dalam bola sepak, apa yang penting adalah setiap pemain perlu mengekalkan fokus sehingga wisel penamat," katanya.

Skuad negara bakal mempertaruhkan barisan terbaik susulan tiga tonggak pertahanan kembali memperkuat pasukan.

Mereka ialah Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syazwan Andik Ishak dan Syahmi Safari.

Aidil dan Syazwan dilihat kembali pulih daripada kecederaan manakala Syahmi pula bebas daripada penggantungan satu perlawanan.

"Kami berharap dengan kembalinya tiga tonggak utama di bahagian pertahanan, ia akan membantu kami meraih kemenangan.

"Namun, kami menyedari jentera serangan Vietnam mempunyai corak serangan pantas.

"Setiap pemain perlu mengekalkan fokus yang tinggi.

"Jika kami mampu untuk mengelak daripada dibolosi, saya yakin kami juga mampu untuk menjaringkan gol," tambahnya.