Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, berkata pemain Bundesliga yang menunjukkan solidariti terhadap George Floyd pada hujung minggu sepatutnya layak mendapat "tepukan, bukannya hukuman".

Badan pengelola bola sepak dunia itu mendesak persatuan kebangsaan agar bersikap bertimbang rasa dalam menangani protes dan demonstrasi di atas padang di celah-celah kerusuhan yang melanda di Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

Duo Borussia Dortmund, Jadon Sancho dan Achraf Hakimi, dilihat memaparkan mesej 'Keadilan Buat George Floyd' ketika meraikan jaringan dalam kemenangan dalam Bundesliga ke atas Paderborn Isnin lalu sementara pemain Schalke, Weston McKennie, memakai gelang tangan dengan mesej yang sama dan penyerang Borussia Monchengladbach. Marcus Thuram, pula berlutut ketika meraikan jaringannya ketika menentang Union Berlin.

Kejadian itu berlaku setelah Floyd maut ketika ditahan polis di Minneapolis minggu lalu yang mencetuskan demonstrasi dan rusuhan yang semakin merebak di AS.

Sancho kemudian dilayangkan kad kuning atas kesalahan menanggalkan jersinya sementara Hakimi, McKennie dan Thuram terlepas sebarang hukuman dalam perlawanan itu.

Namun, Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) berhasrat untuk meneliti insiden itu dan mempertimbangkan tindakan susulan.

FIFA mengatakan penganjur kejohanan perlu "mempertimbangkan konteks di sebalik insiden itu" sebelum memutuskan untuk menghukum sebarang insiden yang berlaku di atas padang.

Tambahnya lagi, tindakan DFB itu juga bercanggah dengan kempen anti-diskriminasi dan anti-kekerasan FIFA apabila mereka mengambil tindakan terhadap pemain seperti Sancho.

"Demi mengelakkan kesangsian dalam kejohanan di bawah kelolaan FIFA, demonstrasi yang dipaparkan pemain Bundesliga baru-baru ini sepatutnya layak mendapat tepukan dan bukannya hukuman," katanya dalam satu kenyataan.

"Kita semua harus mengatakan tidak terhadap perkauman dan segala bentuk diskriminasi. Kita semua mesti mengatakan tidak terhadap kekerasan dan segala bentuk kekerasan."