Favre mahu Dortmund lupakan aib Der Klassiker

Oleh Penulis Jemputan 21 November 2019 78
Favre mahu Dortmund lupakan aib Der Klassiker
Lucien Favre menggesa Borussia Dortmund untuk melupakan kekalahan besar dalam aksi "Der Klassiker" menjelang perlawanan dengan Paderborn, awal pagi lusa.

Dortmund dibelasah 4-0 oleh Bayern Munich dalam perlawanan terakhir sebelum waktu rehat antarabangsa dan tergelincir ke tangga keenam Bundesliga.

Favre, yang semakin tertekan untuk mempertahankan jawatannya, mahu Dortmund melupakan kekalahan itu dan bersedia untuk meneruskan kempen musim ini.

"Kami beraksi buruk ketika menentang Bayern Munich, ia amat jelas," kata pengurus itu dalam sidang media.

"Kami masih teringat-ingat kemenangan ke atas Inter Milan (dalam Liga Juara-JUara Eropah) sebelum itu.

"Bukan semua pemain tetapi sebahagian daripada mereka.

"Tetapi kekalahan seperti itu boleh berlaku.

"Kami perlu memandang ke depan. Kami masih mempunyai lapan perlawanan.

"Kami perlu meneruskannya dan berfikir mengenai prestasi kami dalam setiap perlawanan," katanya.

Thomas Delaney (kecederaan buku lali) akan diketepikan sehingga Januari depan ketika Favre masih lagi tidak pasti mengenai keadaan Nico Schulz, namun Marco Reus dapat berlatih dengan baik sepanjang minggu ini.

Selepas tamatnya waktu rehat antarabangsa, Favre mahu pemain Dortmund fokus terhadap tugasan mereka sepanjang baki tahun ini.

"Kami masih ada lapan perlawanan sebelum hari Krismas. Kami perlu fokus terhadap baki perlawanan itu.

"Terdapat enam perlawanan liga dan dua dalam Liga Juara-Juara.

"Dortmund akan meneruskan fokus sehingga hujung tahun ini.

"Pemain perlu melupakan tugasan antarabangsa mereka. Ia amat penting," katanya.

Dortmund berada di tangga keenam Bundesliga, namun hanya ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Borussia Monchengladbach.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen