Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, memuji aksi yang dipamerkan Marco Reus sepanjang aksi liga musim ini selepas pemain itu sekali lagi menjaringkan gol ketika pasukannya menewaskan Borussia Monchengladbach, awal pagi tadi.

Jaringan Reus pada minit ke-54 membuktikan kelibatnya masih digeruni sebagai penggempur utama Dortmund dengan kemenangan 2-1 itu meletakkan pasukannya kini berkelebihan sembilan mata di puncak Bundesliga.

Pemain berusia 29 tahun itu telah menjaringkan 11 gol Bundesliga musim ini dan berada di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian 18 gol ketika dia mewakili Monchengladbach pada musim 2011-12.

Favre memuji Reus dan pasukannya, namun lega Dortmund kini mengekalkan penguasaan menjelang waktu rehat pertengahan musim.

"Kami layak untuk memenangi perlawanan.

"Kami menguasai permainan dan kemenangan 2-1 itu sudah cukup untuk kami meraih tiga mata.

"Marco Reus telah memaparkan aksi yang baik sepanjang separuh musim ini.

"Dia sentiasa diturunkan dan hanya terlepas aksi ketika menentang Monaco dalam Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu.

"Kami kini boleh menikmati waktu rehat dengan tenang," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

Jaringan kemenangan Reus itu hadir selepas Jadon Sancho dan Cristoph Karmer menjaringkan gol buat pasukan masing-masing dalam separuh masa pertama di Signal Iduna Park.

Pemain kebangsaan Jerman itu memuji semangat juang yang dipamerkan pasukannya selepas tewas kepada Fortuna Dusseldorf, Rabu lalu.

"Pada awalnya, ia amat sukar dan kami perlu bersabar untuk menguasai perlawanan.

"Julian Weigl dan Omer Toprak beraksi dengan amat cemerlang.

"Saya berbangga dengan pasukan ini, terutama dalam babak kedua.

"Kami menunjukkan keinginan yang tinggi untuk menang," katanya.