Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan tiga pengadil negara ke Piala Dunia 2026 menerusi pelancaran Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) dengan enam pengadil kebangsaan sudah disenarai pendek untuk menjadi perintis projek berkenaan.

MProRS sebagai projek pengadil profesional menjadi taruhan baru FAM untuk menjadikan pengadil dari Malaysia sebagai mercu tanda pengadilan Asia.

Dengan mengutamakan budaya pengadilan profesional dan konsisten pada setiap perlawanan, MProRS menawarkan bimbingan terperinci kepada mereka yang terpilih menjelang Piala Dunia 2026.

"Kita ketandusan pengadil untuk terlibat dalam Piala Dunia termasuk di Qatar pada 2022 dan kali terakhir adalah Subkhiddin Mohd Salleh pada edisi 2010 (Afrika Selatan). Hasrat FAM adalah untuk pastikan pengadil tempatan berjaya sehingga ke peringkat tertinggi.

"Jadi memang misi kita untuk melihat tiga pengadil tempatan beraksi pada Piala Dunia 2026 dan dengan adanya MProRS dan beberapa program lain diharap dapat membantu misi tersebut," katanya ketika Majlis Pelancaran MProRS di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Subkhiddin Salleh muncul pengadil terakhir negara bertugas dalam kejohanan bola sepak teragung itu di Afrika Selatan pada 2010.

Bagaimanapun, kemunculan MProRS menimbulkan persoalan mengenai status penubuhan badan bebas pengadil yang dikenali sebagai Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) yang sebelum ini mahu diwujudkan bersama antara FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Seperti kita menswastakan MFL keluar dari Jawatankuasa Pertandingan FAM dahulu, perkara sama mungkin akan terjadi pada masa yang sesuai di masa akan datang. Kita akan pastikan PMOM itu wujud sebagai badan lain untuk menguruskan pengadil profesional seperti MFL menguruskan Liga-M.

"Tetapi kita perlu bergerak dari sekarang (MProRS) untuk FAM memulakan inisiatif ke atas pengadil profesional di negara."