Senario program bola sepak di peringkat akar umbi memerlukan penelitian rapi semua pihak yang terlibat dalam memastikan hala tuju pemain terbela selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pembatalan kejohanan peringkat remaja; Piala Belia, Piala Presiden dan liga negeri.

Justeru, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM memerlukan pendekatan berbeza berhubung pembatalan pertandingan itu.

Sebarang usul perlu dibangkitkan memandangkan belum ada kepastian bilakah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan tamat apatah lagi bola sepak dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang.

"Kalau ada liga, kami akan dapat (cungkil bakat) pemain baru.

"Contohnya Luqman Hakim Shamsudin. Dia baru berumur 17 tahun tetapi siapa sangka mampu memperkuatkan barisan skuad B-21," kata ketua jurulatih akademi Tunas HLS, Malik Abu Samah, ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, hari ini.

Dianggarkan pemain yang beraksi dalam Piala Belia dan Presiden akan terlepas beraksi sekitar 18 ke 20 perlawanan yang membabitkan sistem dua zon, iaitu utara dan selatan.

Untuk rekod, Piala Belia musim lalu menjadi milik Terengganu manakala Selangor menjuarai Piala Presiden.




Dalam masa sama, Sekretariat Agung FAM menggalakkan pemain belia diserapkan dalam pasukan Liga Super dan Perdana 2020 selain had umur Piala Presiden tahun depan dinaikkan kepada 22 tahun.

"Pertandingan-pertandingan ini agak sukar dijalankan dalam keadaan ini.

"Semua pasukan dan pemain yang akan mewakili negara perlu mencari kaedah lain untuk menentukan corak latihan yang tersendiri," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.