Tekanan semakin besar buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini

Ia selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan sebarang aktiviti bola sepak dan akan mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) baru selepas tamat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa kerajaan melarang sebarang perhimpunan awam demi mematuhi penjarakan sosial berikutan pandemik Covid-19.

"Apa sahaja yang berkaitan dengan perhimpunan secara berkumpulan masih tidak dibenarkan walaupun selepas PKP ditamatkan," katanya dalam sidang media hari ini.

"Cuma tempoh berapa lama SOP seperti itu akan terus kekal akan diumumkan kerana MKN sedang menyediakan SOP selepas PKP ditamatkan."

Khamis lalu, FAM dan MFL mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan pandangan mengenai apa yang perlu dilakukan sekiranya saingan Liga-M diteruskan selewat-lewatnya September depan.

Berpegang kepada saranan untuk mematuhi penjarakan sosial dan larangan untuk mengadakan perhimpunan awam, pembatalan liga musim ini merupakan sesuatu yang tidak mustahil.

Jika ia berlaku, kontrak dan ikatan di antara pemain dan pasukan juga boleh terbatal secara automatik.

Ia termaktub dalam peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menjelaskan ia sebagai satu situasi luar biasa, namun bergantung kepada pendekatan setiap negara.

"Kalau tiada kerja nak bayar macam mana kan? Itu adalah asasnya, ada kerja ada bayaran," kata Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.

"Sebagai contoh, sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti (bola sepak) sehingga hujung tahun ini, apa yang FAM boleh buat?

"Mereka terpaksa tutup kedai.

"Selama enam hingga tujuh bulan, tiada kerja untuk semua orang.

"Ia dibawah peraturan kontrak dan bukannya di bawah perundangan," katanya.