Pertahanan termuda skuad B-23 negara, Shivan Pillay, tidak mahu menjadikan faktor usia sebagai penghalang buat dirinya dalam merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari depan.

Pemain berusia 17 tahun itu menyedari dia perlu berada pada tahap terbaik ketika latihan dan aksi persahabatan jika mahu meyakinkan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Jika dalam skuad B-19 tahun negara Shivan merupakan pilihan utama, namun dalam skuad B-23, dia perlu bersaing dengan pemain lebih senior seperti Irfan Fazail, Adam Nor Azlin dan Adib Zainuddin.

"Ia agak sukar tetapi tidak mustahil untuk terpilih beraksi dalam kesebelasan utama untuk kejohanan di Asia," katanya.

Shivan mengakui tiada masalah berlatih di bawah kendalian Kim Swee walaupun skuad B-23 menggunakan formasi 3-4-3 berbanding skuad B-19 kendalian Bojan Hodak yang lebih selesa dengan formasi 4-5-1 atau 4-2-3-1.

Bagi Shivan, dia juga mahu meraih sebanyak mungkin pengalaman dengan skuad B-23 untuk mencerahkan peluangnya bersama skuad senior PKNS dalam saingan Liga Super musim depan selepas hanya bersama skuad belia dan Piala Presiden PKNS musim ini.

"Ia akan menjadi pengalaman yang sangat baik buat saya. Ia merupakan satu peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru bersama mereka," ujarnya.