Penyerang pasukan negara, Syafiq Ahmad, berasakan kelebihan ketinggian pemain Korea Utara antara faktor kegagalan skuad Harimau Malaya menyaingi pasukan itu selepas tewas dua kali dengan keputusan 1-4 dalam kelayakan Piala Asia 2018 di Buriram, Thailand.

"Mereka memiliki kelebihan penyerang yang tinggi dan fizikal seluruh pasukan juga memainkan peranan," katanya selepas perlawanan malam tadi.

"Walaupun kami bergelut untuk mencari rentak pada awal perlawanan, selepas 10 minit, boleh dilihat kami semakin dapat melakukan pergerakan," tambahnya.

Kemenangan ke atas Malaysia menyaksikan Korea Utara hampir pasti layak ke Piala Asia 2019 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan B dengan lapan mata.

Tanpa sebarang kemenangan, Malaysia pula terpaksa akur di tangga tercorot -- yang selayaknya buat skuad kebangsaan.

Sementara itu, penjaring gol tunggal negara dalam dua kekalahan itu, Safawi Rasid, menganggap ia sebagai pelajaran berguna buat barisan negara, terutama pemain muda.

"Kami melakukan kesilapan mudah," katanya. "Saya lega ramai pemain muda yang beraksi kerana ia menjadi pendedahan untuk masa akan datang."

Malaysia seterusnya akan membuat kunjungan ke Lubnan dalam perlawanan terakhir pada 27 Mac tahun depan sebagai pelengkap jadual -- dan menghadiahkan tiga mata lagi buat lawan.