Pertahanan negara, Mohd Fadhli Shas, berharap dapat disenaraikan oleh Datuk Ong Kim Swee dalam senarai akhir ke Yangon, Myanmar yang bakal menjadi penyertaan Piala Suzuki AFF keempatnya sejak 2010.

Nama Fadhli Shas mula melonjak selepas Piala AFF 2010 apabila membantu pasukan negara muncul juara ketika masih berumur 19 tahun.

Tidak pernah terlepas sebarang kejohanan Piala AFF, Fadhli berharap pengalaman dalam tiga edisi berbeza mampu membantu pasukan negara mengharungi saingan Kumpulan B di Yangon.

“Kami harus meneliti pasukan-pasukan yang bakal berdepan kami dan tidak boleh mengambil mudah pasukan lawan,” ujarnya.

Biarpun gagal meraih tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta'zim (JDT), Fadhli tetap berasa gembira kerana Kim Swee masih memberikan kepercayaan kepadanya.

Pemain berusia 25 tahun itu hanya memikirkan prestasinya di atas padang berbanding tanggapan negatif peminat yang terus mempersoalkan mengapa dia sentiasa terpilih dalam pasukan negara.

“Itu bukan alasan bagi saya kerana kurang beraksi dalam Liga Malaysia. Dengan pengalaman yang dimiliki, saya berharap untuk memberikan yang terbaik untuk Malaysia.”

Anda boleh saksikan perlawanan persahabatan Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November ini dan Astro Arena juga akan membawa siaran langsung di saluran 801 dan 802 HD bermula dengan pra rancangan pada jam 2.30 petang.