Pertahanan Juventus, Patrice Evra, mahu pasukannya memenangi Liga Juara-Juara untuk penjaga gol, Gianluigi Buffon.

Evra berkata dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa Buffon, Leonardo Bonucci dan Andrea Barzagli tidak pernah menjulang piala itu dalam tempoh 21 tahun.

Juara Serie A itu telah memulakan kempen di pentas Eropah musim ini dengan meraih empat mata daripada dua perlawanan pembukaan.

Bekas pertahanan Manchester United itu berkata kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini sangat bermakna buat Buffon dan rakan sepasukannya yang lain.

"Ketika anda memenangi sesuatu, anda mahu berkongsinya bersama rakan sepasukan yang lain, itu merupakan cara saya dibesarkan," ujar Evra.

"Saya sangka mereka telah memenanginya (UCL). Sasaran utama musim ini adalah untuk memenangi UCL kerana ia akan menjadi sangat bermakna buat Juventus.

"Jika anda bertanyakan kepada saya, penjaga gol kegemaran saya adalah Edwin van der Sar.

"Tetapi setelah saya tiba di sini, mengenali Buffon dan berlatih bersamanya, saya mengagumi dia.

"Semakin meningkat usia Buffon, dia mempamerkan aksi yang lebih mantap.

"Dia mampu menampan percubaan yang gagal dilakukannya 18 tahun lalu."