Penyerang Salzburg yang sedang mencetus sensasi, Erling Haaland, menyimpan cita-cita untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, kata bapanya, Alf-Inge Haaland.

Bekas pertahanan Leeds United dan Manchester City, Alf-Inge, mengesahkan anaknya -- yang merupakan salah seorang penyerang muda paling mencuri perhatian di sekitar Eropah -- mahu beraksi di England dalam kariernya satu hari nanti.

Juara Serie A, Juventus, dikaitkan dengan pemain berusia 19 tahun itu, begitu juga dengan seteru LaLiga, Real Madrid dan Barcelona.

Erling telah menjaringkan tujuh gol dalam empat penampilan Liga Juara-Juara Eropah dalam musim sulung penuhnya bersama Salzburg di Austria.

Sambil menjangkakan anaknya yang dilahirkan di Leeds itu akan mengikut jejak langkahnya beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, Alf-Inge berpendapat pilihannya tidak akan memainkan peranan dalam pemilihan destinasi yang dipilih Erling.

"Dia merupakan peminat Leeds dan Manchester City serta Nottingham Forest. Dia mengikut saya tetapi itu yang kami lakukan ketika remaja," kata Alf-Inge.

"Tiada beza di antara menjadi penyokong dan melaluinya sebagai pekerjaan.

"Kini, dia berada di tahap yang kami jangkakan. Dia sesuai untuk Liga Perdana Inggeris, itu yang saya fikir. Sama ada ia berlaku sekarang atau kemudian, kami tidak tahu."

Laporan terkini mendedahkan Salzburg bakal meletakkan tanda harga EUR100 juta (RM458 juta) buat penyerang tengah itu yang telah meraih dua penampilan bersama skuad kebangsaan Norway.

Namun, Alf-Inge tidak fikir pihak kelab akan meminta jumlah yang tidak masuk akal untuk khidmat anaknya itu.

"Sentiasa akan ada cerita," tambahnya.

"Dia berada di Salzburg, kelab yang hebat dan beraksi dalam Liga Juara-Juara, jadi tiada apa perlu dipercepatkan.

"Namun, Salzburg telah menunjukkan sebelum ini bahawa mereka merupakan pasukan pertengahan dan jika mereka mahu mendapatkan pemain di masa depan, mereka tidak boleh meletakkan tanda harga yang tidak sepatutnya pada pemain atau tiada sesiapa yang mahu ke sana."