Pengendali Sepanyol, Luis Enrique, melabel kritikan yang dilemparkan ke atas penjaga golnya, David de Gea, sebagai tidak adil dan menolak untuk mendedahkan sama ada pemain itu masih pilihan utama di Sepanyol.

De Gea sebelum ini dipersalahkan ekoran kesilapannya yang mengakibatkan jaringan lewat Tin Jedvaj ketika Sepanyol tewas 2-3 kepada Croatia dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, kelmarin.

Bintang Manchester United itu masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik di peringkat antrabangsa.

Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, dilaporkan bakal menggantikan tempatnya dalam aksi persahabatan menentang Bosnia-Herzegovina, awal pagi nanti.

Enrique masih belum pasti penjaga gol mana yang akan diturunkan, namun dia mempertahankan De Gea daripada sebarang kritikan.

"Saya pelik mengapa dia dikritik. Kritikan itu sepatutnya diberikan kepada pasukan dan jurulatih," katanya kepada wartawan.

"Apabila kritikan itu dilemparkan kepada seorang individu, ia tidak adil kerana bola sepak adalah sukan berpasukan.

"Jaringan yang terhasil bukanlah disebabkan penjaga gol.

"Apabila kami bolos, ia adalah kegagalan sepasukan. Ia tidak adil buat De Gea, namun kami sedia menerima kritikan.

"Saya tidak meletakkan pemain saya dalam percubaan. Saya memilih mereka berdasarkan analisis dan pengetahuan saya.

"Saya tidak mahu mendedahkan pilihan saya, biarlah aksi di atas padang menjadi jawapan kepada persoalan itu," tambahnya.