Enrique kembali kemudi Sepanyol, Moreno undur diri

Oleh Staff Writer 20 November 2019 213
Enrique kembali kemudi Sepanyol, Moreno undur diri
Luis Enrique kembali dilantik ketua jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol dan akan membimbing pasukan itu menghadapi Euro 2020.

Bekas pengurus Barcelona dan AS Roma itu mengambil cuti Mac lalu sebelum secara rasminya meletak jawatan Jun lalu selepas anak perempuannya, Xana, disahkan menghidapi kanser tulang dan meninggal dunia Ogos lalu.

Robert Moreno menggantikan Enrique sebagai pengurus sementara dan memenangi ketiga-tiga perlawanan yang dikendalikannya sebelum menambah empat kemenangan lagi selepas dilantik pengurus tetap.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales, mengesahkan awal pagi tadi bahawa Enrique akan kembali mengendalikan juara Eropah dua kali itu dan menolak apa-apa perbincangan mengenai cara mereka menguruskan situasi itu.

"Pada hari Ahad, (Pengarah Kesukanan RFEF, Jose Francisco) Molina bercakap dengan Robert Moreno, dan Robert Moreno berkata dia ingin tahu apa yang akan berlaku. 

"Molina memberitahunya untuk menunggu sehingga perlawanan tamat tetapi jika Luis Enrique ingin kembali menggalas tugasnya, kami akan mempertimbangkannya.

"Pada hari Isnin, kami menerima mesej daripada Robert Moreno yang mengatakan dia tidak akan menghalang kepulangan Luis Enrique.

"Orang pertama yang tahu bahawa Luis Enrique mahu kembali sebelum diketahui oleh kami di persatuan adalah Robert Moreno.

"Kami sentiasa bertindak dengan rasa hormat dan ketelusan dan kami telah memegang kata-kata kami.

"Persatuan telah bertindak adil, kami setia kepada Luis Enrique dan mereka yang setia dengan tugasnya," katanya.

Moreno, yang tidak akan meneruskan peranannya sebagai pembantu jurulatih, dilaporkan meninggalkan Wanda Metropolitano dengan tangisan awal pagi semalam selepas pasukannya meraih kemenangan 5-0 ke atas Romania -- perlawanan keenamnya selaku ketua jurulatih.

Menjelang perlawanan terakhir pusingan kelayakan Euro 2020 itu, dia dilaporkan sudah mengetahui perancangan RFEF untuk menggantikannya dan dikatakan kecewa dengan cara mereka menguruskan kepulangan Enrique ke pasukan itu.

Moreno tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan yang dilaporkan merupakan keputusan peribadinya.

September lalu, Moreno berkata tentang Enrique: "Jika satu hari nanti dia mahu kembali, saya gembira untuk mengundurkan diri dan bekerja bersamanya."

Bekas jurulatih Celta Vigo dan Girona, Juan Carlos Unzue, dijangka akan dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan itu menjelang Euro 2020.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen