Luis Enrique menuntut barisan pemain Barcelona agar meraih kemenangan moral ke atas Borussia Monchengladbach pada awal pagi esok sekalipun beliau mendakwa keputusan aksi Liga Juara-Juara itu tidak penting baginya.

Jaguh Sepanyol itu diikat 1-1 dalam pertembungan El Clasico minggu lalu yang menyaksikan mereka hanya mengecapi dua kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir mereka musim ini.

Aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu ini mampu meniup keceriaan di kem pasukan itu susulan prestasi tidak menentu dalam saingan domestik, bagaimanapun Barca sudah pun menjamin tempat mereka di puncak Kumpulan C menjelang kunjungan pencabar dari Bundesliga itu ke Camp Nou.

"Tidak syak lagi, jurulatih diadili menerusi keputusan," kata Enrique dalam sidang media.

"Saya tidak ambil pusing tentang kemenangan demi melonjakkan moral saya, tapi adalah mustahak untuk kami menang demi moral pemain-pemain saya.

"Perancangan saya tidak berubah. Saya tidak gusar, hanya situasi bola sepak yang boleh ditambah baik.

"Perancangan kami adalah meneruskan saingan dalam setiap kejohanan yang disertai untuk memenangi sebanyak mungkin trofi.

"Ia perlukan cita-cita tinggi dan perancangan yang rapi untuk kami meraih kejuaraan pada bulan Mei nanti dalam setiap pertandingan yang disertai."

Enrique berharap aksi di Camp Nou mampu menjelmakan persembahan menghiburkan, namun menegaskan skuadnya tetap memasang impian besar dalam semua trofi.

"Jika kami bercakap tentang sikap, ia satu kesilapan besar. Pasukan ini mempunyai segalanya, ia satu cita-cita tinggi. Saya tidak nampak kami ada kekurangannya," kata beliau.

"Kemenangan adalah ubat kepada masalah anda. Kami mencatatkan keputusan peringkat kumpulan yang sempurna dan perlawanan ini adalah aksi sampingan.

"Ini adalah perlawanan Liga Juara-Juara di hadapan penyokong sendiri, kami ingin menikmatinya tanpa mengira pemain manakah yang saya akan gunakan."

Enrique mengesahkan dia akan mempertaruhkan Lionel Messi biarpun Barca berkemungkinan hanya akan menurunkan barisan keduanya.

Dalam masa yang sama, jurulatih berusia 46 tahun itu juga tidak khuatir dengan Neymar yang berdepan kelesuan otot di mana dia akan terlepas aksi menentang Gladbach dan Osasuna minggu ini akibat penggantungan.

"Messi akan bermain dalam kesebelasan utama esok.

"Neymar mengalami kecederaan ringan dan kami terpaksa mengawal beban yang dipikulnya. Jika dia tidak digantung, dia juga tidak akan beraksi. Dia akan pulih nanti."