England miliki sebutir berlian -- Guardiola puji aksi Foden

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2018 779
England miliki sebutir berlian -- Guardiola puji aksi Foden
MANCHESTER CITY 2 HOFFENHEIM 1

Pep Guardiola menyifatkan pemain tengah Manchester City, Phil Foden, sebagai 'berlian' berikutan prestasi memukau pemain berumur 18 tahun itu dalam kemenangan ke atas Hoffenheim dalam pertemuan Liga Juara-Juara (UCL). 


Foden diberikan peluang beraksi di pentas Eropah sebagai pemain utama buat julung kalinya musim ini, dua hari selepas dia menandatangani kontrak jangka masa panjang yang baru dan dia menyerlah sepanjang 90 minit permainan. 

City memerlukan hanya satu mata untuk meraih tempat teratas dalam Kumpulan F. Walaupun ketinggalan selepas gawang mereka dirobek Andrej Kramaric, Leroy Sane memastikan kemenangan City di Stadium Etihad.

Foden kerap memulakan aksi dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) sebelum pertemuan awal pagi tadi. Begitupun, Guardiola menyatakan bahawa beliau tidak pernah berasa gentar untuk mempertaruhkan pemain muda itu di peringkat tertinggi.

"Secara umum, Phil sangat luar biasa," Guardiola memberitahu sidang akhbar.

"Saya tidak fikir saya akan meragui kemampuannya. Ia adalah cara dia berjuang dengan bola -- dia tidak kurus, dia benar-benar tegap. 

"Dia seorang pemain yang berbakat besar, England memiliki sebutir berlian.

"Saya sedar bukan mudah untuk beraksi di kelab-kelab besar. Dia harus bersaing dengan David Silva, Bernardo (Silva) dan Kevin De Bruyne. Namun, dia sangat luar biasa dalam sesi latihan setiap hari.

"Ketika menentang kelab Jerman itu, ia menuntut tahap permainan tinggi dan dia bermain seperti seorang lelaki sejati."

Ada yang meminta Foden dipinjamkan ke kelab lain ekoran kurang mendapat peluang dalam pasukan utama di City. Bagaimanapun, pemain tengah itu menegaskan dia hanya bersemangat untuk mencuri perhatian apabila terpilih untuk beraksi.

"Saya menikmatinya -- untuk beraksi sepanjang 90 minit," kata Foden kepada BT Sport.

"Saya cuba untuk memanfaatkan peluang yang ada, kami bermula perlahan tetapi mendapat kemenangan dan itulah yang mustahak. 

"Saya memeterai kontrak baru dan saya cuba menyesuaikan diri, saya perlu terus merendah diri dan memanfaatkan peluang yang ada. 

"Saya masih muda. Saya belajar setiap hari dan menikmati setiap minit."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen