Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, akan menilai tahap kecergasan pemain bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik sebelum saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan dari 23 Oktober hingga 8 November depan.

Bagi Hodak, aspek kecergasan pemain menjadi keutamaannya bagi memastikan tahap kecergasan pemain setaraf pasukan lain dalam saingan kelayakan itu.

Beliau juga bercadang untuk mewujudkan pangkalan data bagi memudahkan tahap kecergasan pemain dipantau.

"Kami telah melakukan ujian di Majlis Sukan Negara (MSN) sambil mengumpul maklumat pemain muda yang lazimnya dilakukan di Eropah dan setiap kelab.

"Anak buah saya belum melakukannya lagi dan ia akan membantu kami untuk memantau peningkatan pasukan B-15 sehingga B-23," ujar jurulatih dari Croatia itu.

Hodak bakal mengadakan sekurang-kurangnya empat aksi persahabatan dengan pasukan Liga Super dan Liga Perdana sebelum berlepas ke Korea Selatan.

Empat perlawanan itu bagi menguji pendekatan taktikal serta mencari kombinasi terbaik pasukan.

"Kami akan menentang MISC-MIFA dan UiTM FC pada 13 dan 14 Oktober ini, sementara bertemu Selangor pada 20 Oktober.

"PKNS FC juga baru menghubungi saya untuk mengadakan aksi ujian, kami akan mempertimbangkannya.

"Empat perlawanan ini mencabar, jadi apabila pemain saya bertemu lawan yang lebih kuat kelak, mereka sudah bersedia," katanya.