Penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo, mempunyai "perasaan bercampur baur" meskipun menjadi wira dalam penentuan sepakan penalti untuk menghantar pasukannya ke suku akhir Piala EFL.

Bravo menyelamatkan sepakan daripada Alfred N'Diaye dan Conor Coady untuk membantu City menewaskan Wolves 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam perlawanan sebenar, awal pagi tadi.

Penjaga gol dari Chile itu mengatakan ia satu perlawanan sukar untuk City, yang telah mendominasi musim ini tetapi tidak dapat memecahkan kebuntuan gol menentang lawan dari Liga Kejuaraan itu.

"Saya mempunyai perasaan bercampur baur kerana ia merupakan perlawanan yang sangat sukar untuk kami. Ia bukannya biasa kami lakukan," kata Bravo kepada Sky Sports.

"Mereka mencipta banyak peluang, mereka boleh menjaringkan beberapa gol sepanjang perlawanan tetapi mujur kami berjaya menyelesaikannya dengan penentuan penalti."

Bravo muncul wira City sebelum penentuan penalti lagi apabila menyelamatkan tiga percubaan bagi mengekalkan pasukan di landasan yang betul.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata: "Apabila anda mempunyai perlawanan seperti ini, anda banyak menyerang tetapi anda memberi ruang di belakang.

"Mereka mempunyai dua pemain pantas dalam serangan dan mereka mencipta banyak peluang dan banyak mendatangkan bahaya kepada kami. Mujur mereka tidak dapat menjaringkan gol.

"Tetapi itu yang biasa kami lakukan dan biasanya ia berfungsi tetapi hari ini lebih sukar," tambahnya.