Laurent Koscielny akan membuat penampilan sulung bersama Arsenal musim ini apabila menghadapi Qarabag dalam saingan Liga Europa selepas berehat lama ekoran kecederaan tumit, kata pengurus, Unai Emery.

Pemain Perancis itu mengalami kecederaan tumit dalam kekalahan pertemuan kedua Liga Europa di antara Arsenal dan Atletico Madrid, Mei lalu.

Kecederaan itu kemudian meragut tempatnya dalam kem Perancis sempena kempen Piala Dunia Russia sementara dia belum membuat sebarang penampilan sejak Emery mengambil alih jawatan Arsene Wenger di Arsenal.

Berumur 33 tahun, Koscielny kembali cergas dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini selepas membuat kemunculan bersama skuad simpanan Arsenal.

Sehubungan itu, Emery mengesahkan kelibat pemain untuk menghadapi Qarabag, dengan The Gunners sudah menjamin tempat teratas dalam Kumpulan E.

"Tumpuan utama kami dalam pertandingan ini adalah menjuarai kumpulan -- ia sudah dicapai," kata Emery kepada pemberita semalam.

"Bagaimanapun, kami menghormati pertandingan ini dan Qarabag. Misi kami adalah untuk menang, kami akan memberi peluang kepada pemain lain untuk menggalas tanggungjawab dan mendapat keyakinan.

"Kami akan menggunakan perlawanan ini dengan menggunakan khdimat beberapa pemain yang berbeza serta beberapa pemain B-23. Kami juga akan menurunkan Laurent Koscielny."

Emery tidak pasti sama ada Koscielny juga akan terlibat ketika menentang Southampton bagi aksi Liga Perdana, Ahad ini, kerana ingin melihat sejauh mana tahap persembahannya di Qarabag terlebih dahulu.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan berdepan masalah di bahagian tengah pertahanan," katanya.

"Kami akan membuat keputusan selepas perlawanan ini sama ada Koscielny boleh beraksi pada hujung minggu ini kerana ia akan menjadi penampilan sulungnya.

"Adakalanya kami menggunakan pemain seperti (Nacho) Monreal dan (Stephan) Lichtsteiner di posisi ini, jadi kami akan membuat keputusan tetapi yang utama sekali ialah kami perlu memikirkan Qarabag."

Mesut Ozil juga boleh kembali sejak terpinggir dalam empat perlawanan lalu akibat kecederaan belakang dan Emery memberi sedikit keterangan mengenai peluang pemain itu untuk memulakan perlawanan atau berada di bangku simpanan.

"Dia sudah kembali bersama pasukan. Kami akan menentukan sama ada dia boleh beraksi dari awal permainan atau masuk sebagai pemain gantian," kata Emery.