Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, memuji aksi pemain-pemainnya selepas menewaskan Bayern Munich 3-0 dalam saingan Kumpulan B, Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Gol daripada Dani Alves, Edinson Cavani dan Neymar membuatkan kepulangan Carlo Ancelotti ke Paris menjadi mimpi buruk.

Selepas bertegang lidah mengenai tugasan sepakan penalti sebelum ini, ternyata Neymar dan Cavani sudah berdamai dan pasangan itu berjaya mengemudi PSG meraih mata penuh hasil daripada dua perlawanan, sekaligus membuatkan Emery begitu gembira dengan prestasi pasukan.

"Kami meraih tiga mata dan ia sangat bagus," kata Emery.

"Kami mahu memenangi perlawanan ini untuk berada di tangga teratas dan kami berjaya melakukannya. Ia amat penting buat penyokong-penyokong kami menikmati perlawanan sebegini.

"Pemain-pemain berjaya membaca taktikal pasukan lawan dan membalas teknik pengawalan bola yang mereka lakukan dengan pertahanan yang agresif.

"Jentera tengah kami berfungsi dengan baik dan jelas sekali ia memudahkan tugas barisan penyerang untuk menjaringkan gol."

Bagaimanapun, presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi, tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan tersebut.

"Saya sangat berbangga dengan aksi pasukan pada hari ini tetapi kami masih belum memenangi apa-apa kejuaraan.

"Adakah ini satu mesej kepada seluruh Eropah? Kami tidak mahu memberikan apa-apa pesanan kerana hanya mahu memikirkan tentang pasukan kami.

"Mengenai Neymar? Semua orang mengenalinya sebagai seorang pemain yang hebat. Dia adalah pemain terbaik dunia," kata Nasser.