Bos Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, yakin dengan peluang skuadnya untuk melepasi Real Madrid bagi meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun menguasai Kumpulan B, pemimpin Ligue 1 itu mungkin menghadapi cabaran paling sukar apabila diundi berdepan juara bertahan itu.

PSG disingkirkan oleh Barcelona dalam pusingan 16 pada musim lalu selepas kelebihan 4-0 dalam perlawanan pertama mereka dipadam dengan kekalahan agregat 6-5.

Emery tidak mempedulikan tentang cabaran sama kali ini.

"Saya fikir ia adalah undian yang baik. Saya percaya kami boleh bersaing dengan Real Madrid," kata Emery kepada UEFA.com.

"Untuk melakukan sesuatu yang hebat dalam Liga Juara-Juara, anda perlu mengalahkan pasukan terbaik. Pusingan 16 adalah masa yang baik untuk bermain dengan skuad sedemikian.

"Kami perlu menunjukkan watak kami, kemahiran taktikal dan bakat kami. Bakat sangat penting," tambahnya.

Tidak seperti kekalahan musim lalu, PSG kali ini akan mendapat manfaat daripada perlawanan timbal balik di laman sendiri pada Mac.

Pembantu Pengarah Sukan PSG dan bekas legenda kelab, Maxwell, yang memenangi kejohanan itu bersama Barcelona pada 2010-11, menambahkan lagi keterujaan Emery.

"Ia satu undian bagus, dengan dua perlawanan baik untuk bermain. Peminat kami akan menyukainya selepas kami disingkirkan oleh Barcelona musim lalu," katanya.

"Ia akan menjadi menarik. Ia cabaran yang bagus untuk kelab ini, saya fikir kami sudah bersedia."