ANDERLECHT 0 PSG 4

Unai Emery melihat masih ada ruang buat Paris Saint-Germain (PSG) untuk diperbaiki selepas mereka meraih kemenangan 4-0 ke atas Anderlecht dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Kylian Mbappe, Edinson Cavani dan Neymar mencetak nama selaku penjaring sebelum Angel Di Maria menokok satu gol lagi pada lewat permainan, namun meskipun PSG mengekalkan rekod kemenangan dalam saingan Eropah musim ini dengan 12 gol tanpa dibolosi, semuanya itu bukan jaminan.

Anderlecht seringkali berhasil menghadirkan ancaman pada babak pertama, termasuk satu percubaan singgah di tiang gol. Justeru, Emery memberi peringatan kepada anak buahnya demi mengelak keadaan bertambah buruk.

Menurutnya: "Kami gembira -- saya sangat berpuas hati dengan persembahan individu.

"Namun, pasukan ini masih perlu berusaha secara keseluruhannya. Dalam permainan seperti ini, adalah penting untuk memperbaiki beberapa aspek kecil. Pada separuh masa pertama, kami tidak menguasai perlawanan dengan sempurna. Adakalanya kami terkejut apabila diserang balas.

"Pada babak kedua, kami lebih seimbang. Terdapat disiplin taktikal. Adalah menjadi tugas saya untuk mengimbangi pasukan.

"Perlawanan ini bermula dengan sangat baik dengan gol sulung terhasil pada minit ketiga. Tetapi, selepas itu, kami hilang arah. Anderlecht lebih bersemangat dan kadang-kala lebih garang."

Pemain tengah, Marco Verratti, berasakan ia bukanlah persembahan yang mengagumkan biarpun hanya PSG yang melakar jaringan.

"Kami menjaringkan gol awal, namun Anderlecht bermain dengan sangat baik dan memiliki peluang," katanya.

"Ia bukanlah aksi hebat yang ditonjolkan kami, namun kami gembira dengan keputusan ini.

"Kami boleh melakukannya dengan lebih baik lagi dan mencipta banyak peluang. Kami memiliki ramai pemain hebat yang mampu melakukan sesuatu. Kami bertahan dengan baik dan juga agak bernasib baik," katanya.

Dalam masa sama, Kylian Mbappe muncul sebagai penjaring remaja terbanyak dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila merekodkan jaringan kelapan dalam saingan itu, sekaligus mengatasi catatan tujuh gol yang dilakukan Patrick Kluivert.

Pemain Perancis itu baru berusia 18 tahun ketika tampil dalam UCL musim lalu dengan mencetak enam gol untuk membawa AS Monaco ke separuh akhir.