Unai Emery kecewa dengan pertahanan hambar Paris Saint-Germain (PSG) walaupun mereka melakar kemenangan 6-2 ke atas Bordeaux dalam saingan Ligue 1.

Dalam perlawanan yang dilihat mampu memberikan kesukaran berdepan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam saingan Ligue 1, PSG tidak menghadapi masalah selepas meledak tiga gol dalam tempoh 21 minit hasil jaringan Neymar, Edinson Cavani dan Thomas Meunier.

Younousse Sankhare mengurangkan defisit buat pasukan pelawat tetapi Neymar, Julian Draxler dan Kylian Mbappe melanjutkan lagi kelebihan untuk PSG. Malcom menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti.

Emery berpuas hati dengan persembahan jentera serangan, bagaimanapun kecewa kerana bolos dua gol di laman sendiri.

"Sukar untuk mengatakan bahawa ia adalah perlawanan yang sempurna," kata Emery.

"Saya gembira dengan keputusan dan persembahan tetapi kami bolos dua gol di laman sendiri.

"Kami menghormati pasukan lawan pada babak pertama perlawanan, mereka merupakan pasukan yang memiliki kualiti ketika menyerang, kami tidak mengetahui gaya permainan mereka.

"Perkara positif untuk kami adalah kualiti individu dalam pasukan berjaya mencari ruang untuk menghasilkan gol," hujahnya.

PSG kini memiliki kelebihan tiga mata di persada Ligue 1 dalam usaha untuk merampas gelaran juara liga daripada Monaco.