Real Madrid bersetuju dengan cadangan Barcelona untuk meminda perlawanan 'El Clasico' pertama musim ini kepada 18 Disember depan.

Semalam, Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengesahkan telah menangguhkan perlawanan di Camp Nou itu akibat kebimbangan isu keselamatan di tengah-tengah ketegangan politik dan protes di Catalonia ketika ini.

Insiden keganasan berlaku di Barcelona selepas sembilan pemimpin politik Catalan dijatuhi hukuman penjara yang lama berhubung peranan mereka dalam referendum 2017 dan pengisytiharan menuntut kemerdekaan.

Ahli politik pro-kemerdekaan telah mengajak masyarakat untuk berhimpun di bandar itu pada Sabtu depan yang bertembung dengan hari Barca sepatutnya akan menjadi tuan rumah kepada Madrid sehingga mendorong RFEF untuk campur tangan.

Jawatankuasa Pertandingan telah meminta kedua-dua kelab agar bersetuju dengan pemindaan tarikh itu dan Barca pula mencadangkan 18 Disember adalah pilihan terbaik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Madrid berkata: "Jawatankuasa Pertandingan telah menangguhkan perlawanan di antara Barcelona dan Real Madrid yang dijadualkan 26 Oktober ini dan kedua-dua kelab haruslah bersetuju dengan tarikh baru untuk perlawanan itu.

"Real Madrid memaklumkan tarikh yang dicadangkan oleh kedua-dua kelab tersebut adalah pada 18 Disember. "

Sebelum ini, pengurus Madrid, Zinedine Zidane, berkata beliau bersedia untuk menerima sebarang rancangan untuk penjadualan semula perlawanan itu.

"Jika kami perlu bermain pada 26 Disember, maka kami akan bermain dan perkara paling penting yang perlu dilakukan adalah membuat persediaan," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tahu akan timbul banyak perdebatan kerana ia adalah logik tetapi kedudukan saya sebagai pengurus adalah seperti ini: membuat persediaan untuk menghadapinya pada tarikh yang sesuai seperti yang dimaklumkan kepada kami.

"Saya mempunyai pandangan tersendiri tetapi saya tidak akan memberitahu anda. Kami tahu ia jatuh pada 17 atau 18 Disember depan -- apapun kami akan menyesuaikan diri tentang hal itu."

18 Disember jatuh pada pertengahan minggu dan ramai melihatnya sebagai tarikh yang sesuai kerana Barca dan Madrid tidak akan terlibat dalam perlawanan Copa del Rey yang juga berjalan serentak.

LaLiga, bagaimanapun, dilaporkan meletakkan 7 Disember sebagai tarikh pilihannya kerana ingin memastikan perlawanan itu tetap berlangsung pada Sabtu, namun jadual pertemuan Barca dengan Real Mallorca dan perlawanan Madrid menentang Espanyol pula perlu dipinda.

Malah, Barca dan Madrid juga akan mengharungi perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL), masing-masing akan berdepan Inter dan Club Brugge, dalam tempoh empat hari selepas 7 Disember.