Ivan Rakitic berasakan aksi El Clasico tidak boleh dianggap seperti perlawanan akhir Piala Dunia apabila Barcelona bersiap sedia untuk berdepan Real Madrid, malam ini.

Barcelona akan berkunjung ke Santiago Bernabeu dengan reputasi gah di puncak LaLiga dengan kelebihan 11 mata ke atas Madrid sementara seteru setempat, Atletico Madrid, juga merupakan pencabar hebat musim ini.

Pengurus, Ernesto Valverde, dan ketua pasukan, Andres Iniesta, menegaskan kepentingan kemenangan bagi pihak Barcelona -- untuk melebarkan kelebihan dengan juara bertahan itu kepada 14 mata - namun ia bukanlah penamat kepada pemburuan gelaran.

Dan Rakitic, yang dijangka membarisi barisan tengah Barca, juga berminat untuk turut menghangatkan pertembungan Clasico dalam usaha gergasi Catalan itu memburu kemenangan ketiga berturut-turut di Bernabeu, pencapaian yang julung kali berlaku dalam sejarah mereka.

"Kami tidak fikir ia seperti aksi final," kata Rakitic kepada Sky Sports. "Valencia dekat dengan kami, begitu juga Atletico dan Sevilla.

"Sangat sukar untuk bermain dalam LaLiga, tidak seperti empat atau lima tahun lalu dengan hanya dua pasukan, anda perlu turun dan mempamerkan aksi 100 peratus.

"Anda tidak boleh mengatakan bahawa kami akan mendapat tiga mata dalam semua perlawanan dan sekadar menanti aksi Clasico. Kami perlu bersedia dalam setiap perlawanan dengan cara terbaik.

"Sudah tentu kami sedar bahawa ramai peminat di seluruh dunia sedang menanti perlawanan ini, kami mahu menamatkan tahun ini dengan cara terbaik tetapi jika kami menang, perjuangan masih belum berakhir. Kami mengambilnya selangkah demi selangkah," tambahnya.