Gonzalo Higuain bakal meninggalkan Juventus dan menyertai kelab di luar Serie A, demikian menurut abang merangkap ejennya.

Pengurus baru Bianconeri, Andrea Pirlo, pada bulan lalu mengesahkan penyerang itu akan dibenarkan angkat kaki memandangkan dia bukan lagi sebahagian daripada perancangan pasukan utama pada 2020-21.

Sejak tiba dari Napoli pada 2016 menerusi perjanjian bernilai €90 juta (RM440 j), dia telah memenangi tiga gelaran Serie A dan dua Coppa Italia tetapi menghabiskan sebahagian besar musim 2018-19 dipinjamkan kepada Milan dan Chelsea.

Abangnya, Nicolas, mendedahkan bahawa mereka telah bersetuju untuk berpisah dengan gergasi Itali itu, setahun sebelum kontraknya berakhir tetapi telah dihujani tawaran di Eropah, China dan Amerika Syarikat -- walaupun tiada satu pun merupakan prospek menarik.

"Gonzalo masih mempunyai baki kontrak selama setahun lagi tetapi kelab dan Pirlo telah pun memutuskan untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya dan oleh itu, kami perlu mencari kesepakatan yang boleh menguntungkan semua pihak," katanya kepada Tuttosport.

"Kami belum membincangkannya secara terperinci; kami hanya bercakap tentang aspek teknikal. Pirlo dan pihak pengurusan memutuskan sudah tidak ada ruang buat Gonzalo, jadi sekarang kami akan mencari penyelesaian. Jadi saya yakin tidak akan berdepan masalah besar kerana kami mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pengurusan.

"Saya rasa ia akan memerlukan beberapa minggu lagi untuk diselesaikan disebabkan masalah logistik. Saya kini di Buenos Aires dan sukar untuk sampai ke Turin kerana COVID-19. Kami bercakap dari jarak jauh tetapi adalah penting untuk bertemu.

"Kami menerima banyak tawaran dari Perancis, England, Sepanyol, China, AS tetapi tiada yang boleh menggoyangkan kami.

"Kami akan menilai sesuatu itu dengan tenang, tetapi dua perkara ini adalah pasti: Gonzalo tidak akan beraksi di Itali lagi dan pastinya bukan untuk Boca Juniors. Dia dibesarkan bersama River Plate dan tidak akan sama sekali berpindah ke seteru mereka.

"Dia berasa kuat di minda dan fizikalnya. Dia akan membuat keputusan tetapi dia ingin terus beraksi dan berkelana di luar negara. Mungkin dia akan kembali ke Argentina pada masa depan tetapi bukan sekarang."

Nicolas mengakui terkejut dengan keputusan tergesa-gesa Pirlo walaupun mereka menghargai sikap berterus terangnya.

"Kami menjangkakan Pirlo akan memberi peluang kepada Gonzalo kerana kita sedang bercakap tentang seorang penyerang yang telah menyumbat 350 gol dalam beberapa tahun terakhir. Ia memerlukan 10 tahun untuk mencapainya dan sayangnya, segalanya ia begitu cepat dilupakan," katanya.

"Cita-cita Juve adalah memenangi Liga Juara-Juara, tetapi saya tidak tahu berapa banyak pemain yang pernah memenangi tiga gelaran liga dengan merekodkan 66 gol secara keseluruhan.

"Tetapi kami dalam industri bola sepak ini sedar perkara sebegini boleh terjadi. Kami menghargai kejujuran Pirlo. Dia memberitahunya secara berdepan."