Julio Cesar menyifatkan Ederson memiliki semua "ramuan" untuk bergelar penjaga gol terbaik dunia.

Penjaga gol Manchester City itu menyerlah pada musim pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), memastikan gawang City tidak dibolosi enam kali selepas 11 perlawanan untuk membantu skuad kendalian Pep Guardiola menungguli takhta liga dengan kelebihan lapan mata.

Pemain berusia 24 tahun itu turut menyerlah ketika beraksi bersama Brazil bulan lalu, ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Chile dalam aksi terakhir kelayakan PIala Dunia Zon Amerika Selatan.

Ketika ini, Alisson dilihat sebagai pilihan utama Tite, namun rakan senegaranya percaya Ederson yang "hampir sempurna" akan mengambil tempat dalam kesebelasan utama di Russia nanti.

"Ederson seorang penjaga gol yang sentiasa memperbaiki kelemahannya," kata Cesar.

"Dia bersedia untuk beraksi dalam Piala Dunia dan memiliki ramuan untuk bergelar penjaga gol terbaik dunia," ujarnya.

Cesar telah beraksi sebanyak 87 kali untuk negaranya dan sebahagian daripada skuad kendalian Luiz Felipe Scolari ketika mengalami kekalahan 7-1 kepada Jerman dalam aksi separuh akhir dalam edisi Piala Dunia lalu.

Penjaga gol berpengalaman itu, yang masih beraksi untuk Benfica ketika mencecah usia 38 tahun, berasakan skuad semasa Tite yang diketuai oleh Neymar mampu meraih kejayaan di Russia.

"Saya berpendapat Brazil memiliki peluang cerah untuk menjuarai Piala Dunia.

"Kami memiliki seorang jurulatih yang telah melakukan tugas dengan baik. Kami kini salah sebuah pasukan pilihan," katanya lagi.