ROMA 3 CSKA MOSCOW 0

Eusebio Di Francesco mendedahkan Edin Dzeko berhak meraih pujian individu selepas penggempur Roma tersebut menyumbat dua gol dan mencipta satu lagi peluang dalam kemenangan 3-0 ke atas CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Dzeko mengumpul gol keempat dan kelimanya dalam UCL dalam tempoh 13 minit pertama di Stadio Olimpico sebelum membuat umpanan kepada Cengiz Under selepas rehat.

Dzeko menjelmakan prestasi terbaik tepat pada waktunya apabila meledak 16 gol dalam 14 penampilan terakhir kempen UCL selepas Roma mempamerkan aksi buruk dalam kekalahan 0-2 kepada SPAL dalam aksi Serie A tempoh hari.

Pengurus Roma, Di Francesco, gembira dengan reaksi pasukannya serta Dzeko khususnya.

"Jika dia menjaringkan gol (melawan SPAL), situasi pasti lebih baik," kata Di Francesco.

"Saya harus mengatakan bahawa dia adalah pemain yang luar biasa dan bukan sekadar penyudahnya sahaja -- dia membolehkan pasukan bergerak lancar, membawa bola dari bawah dan menghasilkan sentuhan yang baik untuk rakan sepasukannya.

"Dia cukup profesional, dia memberi tumpuan dalam persiapan pra-perlawanan. Apabila dia mengharungi aksi yang buruk, dia mungkin kelihatan lemah tetapi dia melakukannya dengan baik apabila dia bertekad.

"Ada perkara-perkara yang saya tidak gembira ketika bertemu SPAL, kami kurang fokus. Dalam bola sepak, anda tidak boleh membiarkan tumpuan anda menurun.

"Kami mempamerkan banyak perkara yang menarik, termasuk keupayaan mengatur serangan."

"CSKA cukup berdisiplin tetapi kami menemui rentak dengan menghasilkan beberapa gerakan
yang menarik dan mencipta peluang."

Ketua pasukan veteran Roma, Daniele De Rossi, turut sependapat dengan pengurusnya.

"Ini reaksi hebat setelah kekalahan buruk di stadium ini pada Sabtu lalu," kata De Rossi kepada UEFA.com.

"Bukan mudah untuk bangkit di sini selepas tewas dan menunjukkan karakter untuk menang dengan jelas. Kami beraksi bagus, jadi ayuh cuba untuk menjadi lebih baik."

Sementara itu, pengurus CSKA, Viktor Goncharenko, menegaskan bahawa pasukannya -- yang menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan G dengan empat mata -- positif dengan prestasi mereka.

"Saya tidak mahu memberi tumpuan kepada perkara-perkara negatif. Kami bergerak ke hadapan, pasukan muda kami meraih pengalaman yang tidak ternilai dengan beraksi dalam permainan seperti ini," katanya kepada UEFA.com.

"Tentunya, ini akan membantu ketika kami menghadapi Roma di Moscow nanti.

"Kami akan buat kerja rumah."