JUVENTUS 1 ROMA 0

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, sekali lagi menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan Paulo Dybala selepas pemain bintang itu kembali di bangku simpanan.


Laporan perbalahan di antara Dybala dan kelab itu semakin memuncak selepas Naib Presiden Juventus, Pavel Nedved, pada bulan ini mendesaknya supaya 'lebih banyak berkorban berhubung kehidupan peribadinya'.

Pemain antarabangsa Argentina itu memula dan menjaringkan gol dalam kemenangan Coppa Italia ke atas Genoa pertengahan minggu ini tetapi tidak dapat memperagakan aksinya sebagai pemain gantian untuk perlawanan Serie A ketiga berturut-turut yang menyaksikan Bianconeri mengatasi AS Roma 1-0 di Turin, awal pagi tadi.

Dybala langsung tidak diketengahkan Allegri, begitupun pengurus itu mengulangi tujuannya untuk mengekalkan kecergasan pemain 24 tahun itu untuk sepanjang musim.

"Tiada masalah -- masalah akan timbul apabila kami tidak memilikinya," kata Allegri kepada Premium Sport.

"Dia telah banyak dikerah dan akan menyumbang lebih banyak lagi untuk Juventus tetapi buat masa sekarang, saya memilih pemain lain yang sama penting dengannya. Musim ini masih panjang.

"Kami memerlukan keseimbangan dalam perlawanan ini kerana Roma adalah pasukan yang sangat fizikal, itu sahaja.

"Bagaimanapun, Paulo sedang mencari rentak fizikal dan mental yang ideal, dia bermain dalam pasukan yang hebat dan menghormati keputusan-keputusan ini. Buat masa ini, ia bukan masalah," katanya lagi.

Percubaan Alessandro Florenzi sempat menggegar palang Juve dan Patrik Schick -- perpindahannya ke Juve musim ini tidak kesampaian akibat kecederaan sebelum memilih Roma -- gagal mengatasi Wojciech Szczesny dalam situasi satu lawan satu pada masa kecederaan.

Walaupun Roma berada di tangga ketujuh Serie A, Allegri tidak menolak bahawa mereka adalah pencabar gelaran.

"Kami tidak mematikan perlawanan dan pada saat akhir menerima asakan hebat, sebahagiannya kerana kesilapan kami sendiri dan selebihnya kerana Roma adalah pasukan yang hebat," katanya.

"Saya perlu mengucapkan tahniah kepada pemain saya, kami telah menemui semula mentaliti sebenar. Kami boleh menampilkan aksi yang lebih baik tetapi kemenangan 1-0 sentiasa bagus.

"Roma dan Napoli mendahului yang lain (dalam perlumbaan Scudetto) dan mereka berjuang untuk gelaran, namun saya tidak mahu mengetepikan ancaman Inter Milan dan Lazio," tambahnya.