Pegawai perlawanan dari Malaysia terus mendapat pengiktirafan apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melantik dua pegawai perlawanan negara untuk bertugas sepanjang pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 dari 8-26 Januari ini.

Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menghantar pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Amirul Izwan Mohd Yaacob, dan penolong pengadil FIFA, Mohd Yusri Muhamad, bagi tugasan itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata Amirul dan Yusri akan berlepas ke Bangkok Khamis ini bagi memulakan tugas dan membuat persediaan menjelang sepak mula kejohanan dengan aksi pembukaan Kumpulan A pada 8 Januari ini melibatkan perlawanan Iraq bertemu Australia dan tuan rumah, Thailand, menentang Bahrain.

“FAM berharap mereka dapat menjalankan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin bagi memastikan pegawai perlawanan dari Malaysia terus mendapat tempat dan kepercayaan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejuaraan B-23 AFC 2020 bakal berlangsung di tiga bandar di Thailand, iaitu Bangkok, Songkhla dan Buriram apabila melibatkan 16 pasukan manakala Malaysia gagal melayakkan diri ke kejohanan itu.

Ini bukan kali pertama pegawai dari Malaysia mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila beberapa pegawai seperti Subkhiddin Mohd Salleh, Mat Lazim Awang Hamat dan Allahyarham Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid pernah bertugas di peringkat Piala Dunia.

-- BERNAMA