RANGERS 2 PORTO 0

Rangers menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit dalam babak kedua bagi menewaskan Porto 2-0 untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan G, Liga Europa awal pagi tadi.


Dalam perlawanan di Stadium Ibrox itu, Alfredo Morelos menjaringkan gol ketiga berturut-turutnya di peringkat Eropah untuk memecah kebuntuan pada minit ke-69 sebelum membantu jaringan Steven Davis.

Kemenangan itu turut meningkatkan persaingan dalam kumpulan berkenaan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Portugal bulan lalu.

Tiga mata yang diraih itu turut meletakkan skuad kendalian Steven Gerrard berkenaan terikat tujuh mata dengan pendahulu kumpulan, Young Boys, dan berkelebihan tiga mata ke atas Porto dan Feyenoord.

Dua jaringan itu merupakan sebahagian daripada beberapa percubaan dan aksi keras di Stadium Ibrox dan keputusannya mungkin berbeza seandainya Glen Kamara tidak melakukan aksi akrobatik untuk mengeluarkan bola di atas garisan gol susulan percubaan Pepe.

Pasukan tuan rumah itu gagal beraksi kemas dalam babak pertama dan mensia-siakan peluang yang sekali-sekala tiba dengan Brendon Barker menyepak tinggi hantaran James Tavernier pada penghujung babak pertama.

Pertahanan veteran, Pepe, terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan sebaik perlawanan bersambung, namun Rangers masih bergelut untuk menewaskan barisan pertahanan Porto.

Sepakan jarak jauh mengejutkan daripada Ryan Kent melambung tinggi sebelum dia memaksa penjaga gol Porto, Agustin Marchesin, melayangkan badan ke sebelah kanan untuk menolak bola melepasi palang gol.

Morelos, yang turut menjaringkan gol sewaktu perlawanan di Porto, bergandingan dengan Davis untuk menghasilkan dua jaringan pantas, masing-masing pada minit ke-69 dan 73.

Porto kemudian gagal bangkit dalam perlawanan itu untuk rekod tanpa kemenangan mereka dalam Liga Europa berpanjangan kepada lapan perlawanan berturut-turut.